Pilih Bahasa

Pertumbuhan pelbagai sektor dijangka dengan adanya Jambatan Labuan-Menumbok: Rozman

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Labuan bakal menikmati pertumbuhan dalam pelbagai sektor apabila sistem perhubungan bertambah baik terutamanya jika cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok yang menghubungkan pulau tersebut dengan tanah besar Sabah menjadi realiti.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berharap akan ada kumpulan pelabur yang akan membiayai projek pembinaan jambatan apabila tender dikeluarkan kelak.

Rozman (10 dari kanan) dan ahli Dewan-Dewan Perniagaan Labuan sempat merakamkan gambar kenangan bersama Shafie (tengah). Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pada 6 Sept lalu bahawa projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan tanah besar di Sabah, dijangka akan dianugerahkan kontraknya pada hujung tahun 2020.

Khalid juga dilaporkan sebagai berkata cadangan jambatan yang telah lama ditunggu penduduk Labuan itu, kini sedang dikaji secara mendalam oleh satu jawatankuasa pegawai tertinggi daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kewangan, Perbadanan Labuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan hormat beliau bersama Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan Wilayah Persekutuan Labuan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada Isnin, Rozman juga menyeru agar jambatan Labuan-Menumbok dikenakan kadar tol berpatutan.

Katanya kadar tol menggunakan jambatan tersebut seharusnya kurang daripada RM10 memandangkan kemudahan tersebut bukan hanya untuk orang kaya ataupun pemain industri tetapi juga untuk rakyat.

Shafie bersalaman dengan Rozman (kiri). Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Beliau juga berkata kadar tol bagi Jambatan Pulau Pinang ialah RM7.

Sementara itu, Rozman berharap kerajaan negeri Sabah akan membangunkan Menumbok sebagai usaha kerjasama meningkatkan ekonomi di kedua-dua kawasan.

Beliau berkata pihaknya mempunyai rangka pembangunan kawasan Menumbok-Kuala Penyu dengan pembinaan Ramp kedua di Jeti Terminal Feri Menumbok-Labuan.

“Hal ini kerana, perkhidmatan di Jeti Terminal Feri Menumbok mengalami kesesakan dan kelewatan feri berlabuh terutamanya semasa musim-musim cuti perayaan dan hujung minggu.

“Pembinaan ramp kedua mampu menangani permasalahan tersebut dan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.

“Selain itu, juga dengan pembangunan yang rancak di Menumbok sekali gus mampu meningkatkan sektor ekonomi di kedua-dua kawasan melalui perhubungan awam yang strategik,” katanya.

Sidang media yang diadakan oleh Rozman (duduk kiri) selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Tambahnya pembangunan Kawasan Pedalaman Bawah terutamanya Kuala Penyu dan Menumbok sebagai sebuah kawasan pertanian eksport, perindustrian dan pembuatan mampu menawarkan lebih banyak pekerjaan serta meningkatkan taraf ekonomi kawasan itu.

“Melalui cadangan dan usaha ini mampu menggalakkan pelabur tempatan dan domestik membina kilang-kilang pembuatan barangan pengguna bagi merancakkan kegiatan ekonomi yang turut memberi impak kepada Labuan atas faktor geografinya yang lebih dekat serta saling melengkapi,” tambahnya.

Beliau juga memohon agar pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo diberi keutamaan dan melibatkan jalan Beaufort-Kuala Penyu bagi memberikan suatu jaringan perhubungan jalan raya dan infrastruktur yang lebih berkesan kepada Labuan pada masa akan datang.

Selain itu, beliau juga mencadangkan penggantian bot laju Menumbok-Labuan kepada pengangkutan yang lebih selamat.

“Penggantian bot laju kepada Bot Ekpress 40 penumpang lebih memenuhi spesifikasi keselamatan dan keselesaan kepada kru dan penumpang,” jelasnya. -SabahNewsToday