Pilih Bahasa

Peruntukan RM1 juta bina tiga PKD di Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

LAHAD DATU: Bagi menggalakkan keusahawanan luar bandar, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk membina sebanyak tiga buah Pusat Keusahawanan Desa (PKD) di Lahad Datu, Keningau dan Kota Belud.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick berkata pusat tersebut akan dibina secara berperingkat dan pejabat daerah masing-masing akan memuktamadkan pemilihan tapak bersesuaian bagi membina PKD.

Ewon (dua dari kiri) mendengar penjelasan daripada Mohammad Ayub (empat dari kiri) mengenai cadangan tapak Mesej Baru akuakultur Lahad Datu, turut kelihatan Rasinin (tiga dari kiri) dan Fredian (kiri). – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya berharap Majlis Tindakan Daerah diketiga-tiga daerah itu dapat mengadakan perbincangan secara terperinci untuk memuktamadkan tapak tersebut. Perbincangan ini penting untuk mengelak timbul isu-isu pertikaian tanah pada masa akan datang.

“Difahamkan Keningau telah mengenalpasti tapak yang dicadangkan untuk pembinaan PKD di daerah itu dan sekiranya ia dipersetujui semua pihak berkaitan kita juga tidak ada halangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar dua taklimat iaitu Pembangunan Daerah Lahad Datu dan Pembangunan Daerah Kecil Tungku oleh Pegawai Daerahnya, Dr Mohammad Ayub Yakub dan Penolong Pegawai Daerah, Firuz Mohd Dzul di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lahad Datu, di sini hari ini.

Ewon (dua dari kiri) bersama Rasinin (kanan), Mohammad Ayub (dua kanan) dan Fredian (kiri) meninjau lokasi cadangan tapak mesej baru akuakultur di Lahad Datu. – Gambar SNT/hsan KPLB

Dalam lawatan itu Ewon turut diiringi dua Pembantu Menterinya, Rasinin Koutis dan Dumi Pangiran Masdal serta Setiausaha Tetap Kementeriannya, Fredian Gan.

Mengulas lanjut mengenai pembinaan PKD, Ewon berkata objektif utama penyediaan pusat itu adalah sebagai sokongan kepada program-program keusahawanan di Sabah khususnya di daerah terbabit.

“Contohnya kita boleh membawa masuk usahawan kraftangan mengusahakan perniagaan mereka di pusat itu, bahagian lain mungkin barangan kosmetik dan kecantikan yang menggunakan produk atau bahan mentah tempatan, produk makanan berasaskan ikan dan sebagainya.

Ewon (tengah) ketika melawat tapak cadangan Mesej baru akuakultur di Lahad Datu. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Mereka juga boleh mengusahakan perusahaan pakaian tradisi suku kaum di sini kerana kerajaan telah membenarkan pemakaian pakaian etnik semua suku kaum di negeri ini untuk ke pejabat pada hari-hari tertentu. Oleh itu, ini satu peluang perniagaan kepada usahawan- usahawan luar bandar termasuk di Lahad Datu,” katanya.

Dalam lawatan itu beliau turut meluangkan masa meninjau tapak cadangan Pusat Keusahawanan Desa Lahad Datu yang dicadangkan dan meninjau lokasi cadangan tapak baru Mini Estet Sejahtera (Mesej) akuakultur di daerah itu.

Selepas lawatan di sini, Ewon dan rombongan meneruskan lawatan kerja di Kunak untuk meninjau Mesej Sapang dan Pangi seterusnya mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Kunak. – SabahNewsToday