Pilih Bahasa

PERUTUSAN YAB KETUA MENTERI SABAH SEMPENA HARI MALAYSIA KE-56, 2019

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah kita bersyukur kepada Tuhan kerana atas kurnia dan limpah-Nya, kita dapat menyambut ulang tahun pembentukan Malaysia yang ke-56 tahun, pada 2019 ini.

Negara kita pada hari ini berada dalam keadaan jauh berbeza berbanding di awal pembentukan Malaysia, di mana rakyatnya berada dalam keadaan yang  cukup daif. Daif bukan hanya dari sudut prasarana, pembangunan kemudahan asasnya, bahkan juga dari segi kesihatan dan pendidikannya.

Kita sedar dan tahu banyak lagi yang perlu kita lakukan, tapi dalam jangka masa 56 tahun kita sebagai sebuah negara bukan hanya telah berjaya dalam memupuk perpaduan, malah mengekalkan kesatuan dalam kepelbagaian kaum, budaya dan agama. Oleh itu, amat penting bagi kita seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira usia, kaum, suku, agama dan kepercayaan, yang penting kepada kita, ialah bakti yang kita curahkan kepada negara.

Bukan hanya laungan dendangan lagu yang harus kita lontarkan, suarakan, tetapi juga perkhidmatan kita. Khidmat bakti, kita curahkan segala-galanya untuk membangunkan negara ini sebagai sebuah negara yang boleh dihuni oleh masyarakat pelbagai anutan agama dan kaum, supaya generasi akan datang mendapat manfaat yang jauh lebih baik daripada apa yang kita rasa pada hari ini.

Sehubungan itu, saya amat berharap, bersempena dengan Hari Malaysia ke-56 ini, selaku rakyat Malaysia kita curahkan khidmat bakti kita sebaik mungkin untuk membangun dan memajukan negara kita agar rakyat yang ada di negara dan negeri ini terus hidup dalam keadaan aman sejahtera dan makmur.

Selamat menyambut Hari Malaysia ke-56 tahun.

DATUK SERI PANGLIMA HAJI MOHD SHAFIE BIN HAJI APDAL