Pilih Bahasa

Perwakilan setuju Upko dijenama semula sebagai United Progressive Kinabalu Organisation

KOTA KINABALU: Persidangan Perwakilan Luar Biasa Upko 2019 hari ini meluluskan penjenamaan parti politik lokal yang akan lebih bersifat inklusif dan menyeluruh.

“Kita perlu berubah, atau kita akan diubah…. Kita kembali ke dewan ini untuk menghidupkan roh Upko yang menitikberatkan perpaduan. Saya optimis dengan masa depan Upko yang cerah,” kata Datuk Seri Panglima Wilfred Madius.

Lambang baharu Upko yang turut dipersetujui oleh perwakilan dalam EGM pada Sabtu. Gambar SNT/Ihsan Upko

Persidangan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu yang dihadiri oleh 319 perwakilan daripada 20 bahagian meluluskan empat usul, iaitu pindaan perlembagaan mengenai penjenamaan semula Upko, pentadbiran cawangan dan pergerakan, pindaan perlembagaan mengenai lembaga amanah, dan kewarganegaraan dan pembinaan negara bangsa.

Parti itu kini bernama United Progressive Kinabalu Organisation (Upko) atau Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, manakala lambang masih Gunung Kinabalu namun ditambah warna merah.

“Inilah masanya, kita mengadun Upko sebagai sebuah parti untuk setiap kita, tanpa mengira apa agama yang kita anuti, tanpa mengira latar belakang dan suku kaum kita, tanpa mengira warna kulit kita.

“Upko akan menekankan persamaan kita, memahami kepelbagaian kita, menghargai perpaduan kita, bersifat inklusif, menitikberatkan elemen kemajuan, progresif untuk memandu Sabah ke tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.

Madius (tengah) bersama kepimpinan Upko selepas selesai EGM. Gambar SNT/Ihsan Upko

“Kita juga harus sedar dan menerima realiti bahawa, politik kita sejak setengah abad lalu, sangat tertumpu kepada perbalahan suku kaum, agama dan latar belakang sesama kita.

“Kita mahu Upko yang diberikan nafas baru; kita mahu menyatupadukan warga Kinabalu, kita mahu Sabah dan negara progresif. Ini komitmen, ini doa kita. Inilah yang akan kita tekankan, yang akan kita hidupi bermula saat ini,” kata beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Madius berkata, “Keputusan kearah itu (penjenamaan) diambil setelah melalui kajian dan perhubungan dengan pemimpin-pemimpin Upko disemua lapisan yang telah diadakan selama lebih setengah tahun. Kajian itu telah dilaksanakan ekoran daripada resolusi kita dalam persidangan Perwakilan Tritahunan Upko 2018.”

Beliau menerangkan, walaupun Upko selama ini adalah juga pejuang membela rakyat khususnya untuk menangani pelbagai cabaran hidup rakyat seperti kekurangan peluang-peluang pekerjaan; pelbagai isu pendidikan, isu-isu alam sekitar, integriti dalam urus tadbir seperti salah guna kuasa, rasuah, kejujuran dan keadilan, “namun kekadang isu perkauman mendominasi persepsi rakyat terhadap Upko lebih daripada segala-galanya.”

Madius juga meluahkan bahawa, beliau merasakan seperti “pengemis” mengenai perhubungan Sabah dengan Kerajaaan Persekutuan.

“Bagaimana mungkin kita mengemis untuk sesuatu yang sebenarnya adalah hak kita? Itu tidak betul, dan masih tidak betul!” tegas beliau.

“Tidak keterlaluan kalau saya nyatakan, keberadaan kita dalam Barisan Nasional lebih banyak menyebabkan kita mengeluh dan berdukacita. Pun demikian, kita bertahan dan cuba melakukan yang terbaik walau dalam keadaan yang begitu banyak keterbatasan.”

Mengenai pendatang asing tanpa izin, Upko menegaskan sekali lagi bahawa mereka konsisten dalam hal mencari penyelesaian yang tuntas mengenai PTI.

“Presiden Kehormat Tan Sri Bernard bekerja keras sehingga dapat membantu pengwujudan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) mengenai PTI,” kata Madius, sambil menambah, dapatan RCI itu sudah pun dibentangkan di Parlimen.

“Kita mahu setiap cadangan dalam laporan itu dilaksanakan. Kita dalam Upko tetap dengan pendirian, semua kad pengenalan rakyat Malaysia di Sabah ditarik balik sebelum dikeluarkan selepas proses saringan yang komprhensif,” kata beliau.

“Mengenai Pas Sementara Sabah, saya menghimbau pihak pihak berkenaan untuk tidak mengambil tindakan oleh pihak mereka sahaja. Ia haruslah satu usaha bersepadu, kerana kita tidak mampu disalahertikan dan memberikan komunikasi yang salah.”

Usul pindaan perlembagaan itu telah dibentangkan oleh Timbalan Presiden, Senator Datuk Donald Mojuntin manakala usul pentadbiran dibentangkan oleh Setiausaha Agung, Nelson W Angang.

Turut hadir, naib presiden Datuk Ewon Benedick yang juga merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, ketua pemuda Felix Joseph Saang, Ketua Wanita Datin Juliana Jani dan wakil daripada Pergerakan Komulakan yang kini dipanggil Pergerakan Generasi Muda Upko.-SabahNewsToday