Pilih Bahasa

Pesanan terakhir juruselam untuk ayah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Abdun menunjukkan gambar anaknya, Allahyarham Zainal Abdun. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: ‘Bapa tidak lagi perlu ke Kota Kinabalu kerana saya sudah mampu untuk membiayai persekolahan adik,’ jelas Allahyarham Zainal Abdun, 31, kepada ayahya sehari sebelum berlaku kejadian yang meragut nyawanya.

Bapa mangsa, Abdun jamarun, 50, berkata itu adalah pesanan terakhir arwah anaknya itu yang bekerja sebagai juruselam kepadanya di rumah mereka di Kampung Bangau-Bangau.

Zainal merupakan salah seorang mangsa daripada tiga yang maut dipercayai terkena bom ikan, di Pulau Kalapuan, dekat sini semalam. 

Dalam kejadian antara pukul 2 hingga 4 petang itu, mangsa dan dua pelancong China dikenali sebagai Zhao Zheng dan Xu Yingjie ditemui mati ketika menjalankan aktiviti menyelam di pulau berkenaan. 

Abdun berkata dai menerima berita kematian anaknya itu melalui seorang rakannya yang ketika itu baru pulang daripada mengambil anaknya di sebuah sekolah.

“Saya kemudian pergi ke jeti pelancongan namun tidak menemui mayat anak saya. Seorang rakan memberitahu anak saya sudah dibawa ke Hospital Daerah Semporna menaiki ambulans. 

“Saya tidak menyangka itu mayat anak saya kerana saya baru sahaja bertemu dengannya sehari sebelum kejadian berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini. 

Abdun berkata arwah sempat bertemu dengannya sehari sebelum kejadian dan berpesan supaya tidak lagi menjalankan kerja sebagai penghantar hasil laut ke Kota Kinabalu. 

“Arwah bimbang akan kesihatan saya yang semakin tua. Arwah berkata lagi bahawa dia boleh membiayai persekolahan adik bongsunya itu dan saya hanya perlu menjaganya.

“Arwah berasa kasihan dengan saya yang hanya menaiki bas menghantar barangan berkenaan dan balik semula pada hari yang sama,” katanya sambil menambah arwah mempunyai impian untuk melihat kedua ibu bapanya menunaikan haji. 

Bagaimanpun katanya arwah meminta kedua ibu bapanya bersabar kerana dia mahu mengumpul duit terlebih dahulu.

Ketika ditanya berhubung hubungan arwah dengan adik beradiknya yang lain, Abdun berkata arwah begitu rapat dengan adik bongsunya berusia 9 tahun dan sering membawanya tinggal di rumah sewanya. 

“Zainal sangat akrab dengan adik beradiknya terutama adik tiri lelakinya dan sering datang ke rumah ini untuk meluangkan masa bersama walaupun berlainan ibu, namun sangat baik dengan adik-beradiknya,” jelasnya. 

Tambah Abdun lagi dia juga masih menunggu hasil laporan bedah siasat mayat anaknya dan dua pelancong China itu yang dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat, kira-kira pukul 1 pagi tadi. 

“Saya baru pulang pukul 5 pagi tadi untuk pengurusan pengebumian di sini. Pengurusan jenazah akan dibuat di rumah saya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Halo Semporna,” katanya. -SabahNewsToday