Pilih Bahasa

Pesawah Kota Belud mulai bimbang bendang tidak cukup air

Sawah bendang kering kontang akibat kemarau. Gambar Bernama

KOTA BELUD, 2 Mac (Bernama) — Musim panas melanda negara khususnya di Sabah ketika ini semakin memberi kesan ketara apabila sawah padi di Kampung Tempasuk Dua, dekat sini, kering-kontang susulan kurang hujan sejak sebulan lalu.

Tinjauan Bernama di kawasan itu mendapati ada tapak sawah padi merekah selain tidak cukup bekalan air untuk menyuburkan tanaman berkenaan.

Para pesawah yang ditemui turut merasa bimbang keadaan tersebut akan berlarutan sehingga April memandangkan ada antara mereka telah melakukan tanaman baharu dua minggu lepas.

Seorang pesawah Madili Riou, 55, tidak menafikan cuaca panas dan kekurangan hujan ketika ini menjadi cabaran untuknya memastikan sawah padi seluas 1.2 hektar diusahakannya mendapat bekalan air mencukupi.

”Sudah hampir sebulan tidak hujan di sini dan ini yang merisaukan kami jika ia berpanjangan kerana hasil dan kualiti padi akan terjejas dan kami bakal berdepan kerugian,” katanya.

Madili yang turut memulakan tanaman baharu pada pertengahan Februari lalu berkata pada awalnya air mencukupi, namun, tidak menyangka sawah padi diusahakannya kekurangan air dan kering-kontang.

“Saya berharap tali air akan dipasang secepatnya kerana ada sawah padi ditanam sudah hampir mati kerana kekurangan air,” katanya.

Seorang lagi pesawah Susah Tiampou, 65, berkata keadaan kekurangan air di kawasan sawah padi itu juga disebabkan oleh kerja-kerja pembaikan sistem tali air bagi kawasan berkenaan selain pengaliran air ke setiap sawah dilakukan secara bergilir.

Beliau yang mengusahakan sawah padi seluas 0.8 hektar berkata ada pesawah lain ketika ini sedang menjalankan kerja membajak yang pastinya memerlukan bekalan air mencukupi.

“Kawasan sawah padi di kampung ini besar dan ramai petani memerlukan bekalan air untuk tanaman mereka apatah lagi pada musim kemarau sekarang.

“Keadaan sekarang masih terkawal tetapi membimbangkan jika dalam tempoh seminggu ini masih belum ada air dilepaskan ke tapak sawah padi kami kerana tanaman akan mati,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud Salmah Labulla berkata, pihaknya menyedari keadaan dihadapi para pesawah di daerah itu ketika ini dan akan mengambil beberapa langkah proaktif untuk mengatasi masalah tersebut.

Ini termasuk melakukan pengairan ke sawah padi menggunakan pam bergerak terutama di kawasan yang telah memulakan penanaman baharu, katanya.

Beliau berkata jadual penanaman sawah padi di kawasan itu juga akan ditangguhkan dalam tempoh ini sehingga keadaan cuaca kembali seperti biasa.

“Kami juga menasihatkan para pesawah membaiki sawah dengan kaedah perataan kering pada musim kemarau ini,” katanya.

Keadaan cuaca panas dan kekurangan hujan di Sabah sekarang dijangka berterusan sehinga Mac, kecuali di beberapa bahagian seperti Kudat, Sandakan dan Tawau yang dijangka boleh berterusan sehingga April.

— BERNAMA