Pilih Bahasa

Pesta Badi Kadamaian 15-16 Ogos ini

Oleh Alfred Petrus

Ewon (tiga dari kanan) menerima kertas kerja mengenai Pesta Badi Taginambur Kota Belud daripada Saikom. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA KINABALU: Pesta Badi (Tamu) Kadamaian akan diadakan pada 15 dan 16 Ogos ini di Tamu Mingguan Taginambur dan kawasan Eko-Pelancongan Taginambur River Park Kota Belud.

Pelbagai acara menarik telah disusun sempena pesta itu termasuk pameran dan demonstrasi kraftangan, makanan tradisi, pertunjukan muzik tradisional, pameran warisan artifak, pameran produk pelancongan Kadamaian dan jualan bunga tropika serta pameran daripada agensi dan jabatan Kerajaan.

Pesta yang diadakan buat tahun ketiga itu turut diadakan ialah sukan rakyat seperti rakit, memancing, renang, pelampung dan sebagainya serta pertandingan Ratu Badi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata kerajaan negeri menyokong usaha Persatuan Pelancongan Taginambur Kota Belud (TAGTA) menganjurkan pesta itu bagi mempromosikan Tamu Taginambur sebagai tarikan pelancong dalam dan luar negara.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Pesta Badi ini telah dimasukkan dalam kalender pelancongan Sabah, maka saya berharap ia dapat dijadikan sebagai aktiviti tahunan bagi memperkenalkan Kadamaian kepada para pelancong. 

“Ia telah pun dilaksanakan sejak tiga tahun lepas dan saya yakin usaha konsisten ini akan terus mengangkat kawasan Kadamaian sebagai pusat pelancongan luar bandar di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan daripada Persatuan Pelancongan Taginambur Kota Belud di pejabatnya di sini kelmarin.

Ewon (duduk, tengah) bergambar bersama rombongan ahli jawatankuasa penganjur Pesta Badi Taginambur Kota Belud. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata beliau akan mendapatkan kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri untuk menjayakan pesta tersebut.

“Saya akan memanjangkan jemputan kepada Datuk Christina Liew sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk merasmikan Pesta Badi Kadamaian ini dan seterusnya mengiktiraf ini sebagai satu acara tahunan Kerajaan di Kadamaian. 

“Dalam masa yang sama, ini akan menjadi platform kepada beliau untuk meninjau potensi dan prestasi pelancongan luar bandar yang diusahakan oleh komuniti Kadamaian,” katanya.

Ewon turut mengulangi komitmennya untuk terus berusaha menambahbaik kemudahan infrastruktur asas berkaitan jalan-jalan konkrit menuju ke beberapa kawasan eko-pelancongan di Kadamaian dan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membina Kadamaian Square di Tamu Taginambur. 

“Saya berharap kerjasama rapat di antara KPLB Sabah dengan kementerian pelancongan akan dapat meningkatkan kemudahan infra untuk sektor pelancongan luar bandar,” jelasnya. – SabahNewsToday