Pilih Bahasa

Pesta Kaamatan kayu pengukur kekalkan keharmonian

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Penganjuran Pesta Kaamatan di negeri ini dilihat boleh menjadi kayu pengukur dalam mengekalkan keharmonian kepelbagaian bangsa serta budaya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan 2019, Datuk Peter Anthony berkata meraikan perbezaan dan keunikan yang ada pada setiap etnik mampu dijadikan ramuan wajib dalam usaha membentuk masyarakat memiliki rasa kekitaan.

Peter menyampaikan cenderakenangan kepada Pairin. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Peter berkata kehadiran pelbagai lapisan masyarakat pada festival itu menunjukkan betapa pentingnya hidup beridentiti.

“Identiti ini penting kerana ia menunjukkan budaya dan adat resam etnik masing-masing.

“Melalui faktor ini, ia juga boleh membentuk rasa kepunyaan selain lahir rasa setiakawan sesama kaum mahupun bangsa.

“Masyarakat yang maju fizikal serta pembangunannya namun tiada identiti, maka akan luntur lah jati diri seseorang individu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2019, dekat sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Dewan Hongkod Koisan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA).

Yang turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib; Huguan Siou atau pemimpin agung Kadazandusun merangkap Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta pemimpin Kabinet Sabah dan Persekutuan. 

Sementara itu, beliau menyatakan kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian bagi usaha melestarikan dan memulihara identiti setiap masyarakat di negeri terbabit agar terus  kekal harmoni. -SabahNews Today