Pilih Bahasa

Pesta Kaamatan perayaan penting dan istimewa bagi KDMR

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Hajiji (tengah) bersama tetamu dan ahli jawatnkuasa pelaksana Pesta Kaamatan `Mogi Imbang-Imbang’ Kiosa Kupang Kampung Roun/Kiwatu 2019 di Dewan Serbaguna Kampung Roun. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Tuaran

TUARAN: Pesta Kaamatan merupakan perayaan yang cukup istimewa dan penting khususnya bagi masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor.

Begitupun beliau berkata uniknya Pesta Kaamatan ialah perayaan itu yang diwarisi turun temurun oleh nenek moyang turut diraikan bersama oleh masyarakat lain di negeri ini.

Beliau berkata itu adalah keistimewaan di Sabah apabila rakyat pelbagai latar belakang kaum dan agama merayakan sesuatu perayaan ia akan disertai oleh rakyat berbilang kaum yang lain.

Hajiji (tengah) memotong padi sebagai simbolik peramsian Pesta Kaamatan `Mogi Imbang-Imbang’ Kiosa Kupang Kampung Roun/Kiwatu 2019 di Dewan Serbaguna Kampung Roun. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Tuaran

“Masyarakat berbilang kaum di Sabah sudah terkenal  kerana mempunyai sifat dan hidup dalam keadaan harmoni sejak zaman nenek moyang lagi.

“Kita hidup dalam keadaan harmoni menerusi budaya kita yang begitu tinggi nilainya. Justeru budaya nenek moyang dan bangsa kita mesti kita pertahankannya sampai selama-lamanya,” katanya.

Hajiji yang juga Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata demikian  ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan  `Mogi Imbang-Imbang’ Kaamatan Kiosa Kupang Kampung Roun/Kiwatu 2019 di Dewan Serbaguna Kampung Roun di sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tuaran, Abd. Kassim Razali; Presiden Persatuan Komulakan Lotud Sabah (Klosa), Peter Lintar; Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Jefree Mian dan pemimpin masyarakat setempat.

Hajiji turut merasmikan Dewan Serbaguna Kampung Roun serentak dengan sambutan Pesta Kaamatan di majlis itu.

Menurut Hajiji kini orang asal Sabah perlu memastikan budaya tradisi itu kekal diamalkan oleh generasi muda supaya mereka tahu bahawa itu adalah warisan berzaman yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

Katanya, semangat dan roh perayaan Pesta Kaamatan sentiasa ada dalam  jiwa masyarakat suku kaum Lotud dan KDM khususnya di Tuaran.

“Ini  sesuatu yang mesti mereka meraikan sebagai satu tanda keagungan budaya bangsa. Ini perlu kita hormati dan sanjung, walau apa juga bangsa kita,” tegasnya. – SabahNewsToday