Pilih Bahasa

Pesta Kaamatan sebagai landasan tonjolkan warisan seni budaya KDM

Oleh Alfred Petrus

PENAMPANG: Perayaan Pesta Kaamatan adalah salah satu landasan untuk menonjolkan serta mempertontonkan warisan seni dan budaya Kadazan, dusun, Murut (KDM) seperti tarian tradisi kreatif.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang berkata program-program pengisian sempena Pesta Kaamatan tersebut akan dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai dan menanamkan semangat kecintaan terhadap budaya dan tradisi.

Jannie (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama kesemua peserta pertandingan. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Di negeri ini pelbagai etnik mempunya tarian masing-masing yang boleh ditonjolkan sebagai daya tarikan sempena Pesta Kaamatan ini.

“Saya mengambil beberapa contoh seperti Tarian Sumazau atau Sumayau dalam kalangan etnik KadazanDusun, Sayau Kolombujang dan Bakanjar (Dusun Tatana), Tarian Alai Busak Baku’ (Etnik Lundayeh), Mongigol Sumundai dan Manaradan (Etnik Rungus), Magunatip (Etnik Murut), Tarian Gabiluk dan Tarian Mangalai (Etnik Dusun Subpan), Galai Baani (Etnik Sukang) dan sebagainya.

“Semua tarian ini jika diolah dengan cara yang kreatif berpotensi untk dijadikan sebagai daya tarikan kepada pengunjung malah juga kepada pelancong ke negeri kita sempena Pesta Kaamatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pertandingan Tarian Tradisi Kreatif sempena Pesta Kaamatan Negeri 2019 di Pentas Luar Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), pada Sabtu.

Jannie (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran pertandingan tersebut. Gambar STN/Alfred Petrus

Katanya masyarakat KDM sebenarnya mempunyai banyak jenis tarian di seluruh negeri yang berpotensi untuk ditonjolkan dan diperkenalkan kepada masyarakat dan dunia luar.

“Sebagai contoh, tarian Sumazau telahpun diangkat sebagai salah satu tarian kebangsaan bagi negara kita Malaysia.

“Dengan cara ini, tarian sumazau sudah mula dikenali ramai malah ditarikan oleh etnik-etnik lain dalam acara-acara tertentu.

“Adalah diharapkan agar tarian-tarian lain dapat diketengahkan supaya dikenali dan boleh diangkat sebagai tarian kebangsaan juga. Kita berharap tarian-tarian etnik di negeri Sabah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Sementara itu, pada pertandingan berkenaan, johan, naib johan, tempat ketiga masing-masing disandang oleh kumpulan Gentari Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk Kota Kinabalu, Tagaps dan Muslihat.

Ketiga-tiga kumpulan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 -SabahNewsToday