Pilih Bahasa

Pesta Kalimaran disambut setiap 31 Mac

TENOM: Tarikh 31 Mac akan ditetapkan sebagai tarikh rasmi sambutan Pesta Kalimaran setiap tahun.

Perayaan kebudayaan masyarakat Murut tersebut juga akan dimasukkan dalam kalendar acara-acara tahunan Lembaga Pelancongan Sabah.

Christina Liew memukul gong sebagai tanda pelancaran Pesta Kalimaran. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

Ini diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew semasa pelancaran Pesta Kalimaran ke-16 di Pusat Kebudayaan Murut Sabah di sini pada Selasa.

“Saya bersetuju dan menyokong cadangan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony agar 31 Mac dijadikan sebagai tarikh rasmi Pesta Kalimaran memandangkan ia adalah satu acara kebudayaan yang signifikan,” katanya.

Christina bersama Peter mencuba Lansaran, satu tarian tradisi kaum Murut. Gambar SNT/Kementerian Pelancongan

Terdahulu, Peter dalam ucapannya berkata Pesta Kalimaran telah diadakan sejak 2003 tetapi pada tarikh berbeza setiap tahun.

Peter yang juga Adun Melalap turut memberi jaminan untuk memastikan Pesta Kalimaran akan terus diangkat sebagai acara kebudayaan tetap bagi masyarakat Murut di Sabah.

Christina dan Peter bergambar kenangan dengan “pengantin Murut” dalam satu majlis perkahwinan olok-olok. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

Sambutan Pesta Kalimaran kali ini dianjur bersama oleh Lembaga Kebudayaan Sabah dan dipengerusikan oleh Haji Ismaily Bungsu dan pegawai daerah Tenom, Sungkim Rumangun.

Persatuan Murut Sabah (PMS) menyatakan terdapat lapan sub-etnik kaum Murut iaitu Tagol, Timugon, Paluan, Nabaai, Kolor, Serudong, Bokan dan Tangala.

Christina bersama tetamu lain mencuba makanan tradisi Murut di Rumah Lansaran. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

Mengenai bangunan Pusat Kebudayaan Murut Sabah yang semakin tua dan memerlukan pembaikan demi mengekalkan integritinya sebagai pusat kebudayaan, Liew berkata bagi pihak Kerajaan Negeri beliau beri jaminan struktur bangunan itu akan sentiasa dijaga.

“Kita inginkan ia terus menjadi tarikan kebudayaan kepada para pelancong,” katanya, sambil memanggil kesemua pihak terlibat untuk proaktif dalam mempromosikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan.

Kaum wanit Murut melakukan tarian tradisi sambut tetamu. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

Antara yang hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Abdul Muis Picho, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rasinin Koutis, Adun Kemabong, Jamawi Jaafar, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Hajah Mariam Omar Matusin serta Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah, Datuk Mansur Asun.-SabahNewsToday