Pilih Bahasa

Pesta Magahau setaraf Pesta Kaamatan: Jelani

Lucia Bagangg (tengah) dinobat sebagai Modal Of the year sempena Pesta Magahau. – Gambar SNT/Ihsan Samora

KOTA KINABALU: Pesta Magahau yang diraikan oleh masyarakat Rungus di Sabah kini setaraf dengan Pesta Kaamatan, kata Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora), Datuk Jelani Hamdan.

Katanya, pesta itu disambut secara rasmi setiap tahun sejak 2005 hingga tahun ini, mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Bermula pada 2016, Pesta Magahau telah disambut di peringkat zon iaitu zon Kudat, Matunggong, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kota Kinabalu dan Semenanjung (kini zon Persekutuan).

“Kita amat bersyukur dengan pencapaian ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Persekutuan telah mengiktiraf Pesta Magahau sebagai satu perayaan di Sabah yang dimasukkan dalam kalendar pelancongan yang disambut setiap Julai,” katanya.

Sebahagian peserta Momogun Modal of The Year. – Gambar SNT/Ihsan Samora

Beliau berkata demikian dalam ucapan di majlis `Sodop Papak Tavasi’ (Malam Gala) Pesta Magahau Momogun Rungus Sabah 2019 di ruang legar Wisma Tun Fuad Stephens semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Presiden Samora, Jose Modsinupu. Hadir sama ialah Naib Presiden Upko Datuk Dr Lucas Umbul telah mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Tangau merasmikan majlis itu.

Jelani berkata Pesta Magahau merupakan perayaan terbesar bagi kaum Momogun Rungus yang disambut sejak sekian lama dan perlu dipelihara dan diberi sokongan agar ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Pemenang Monurizak, Medkhatu Simpong (tengah) bersama Stefanus Nodibil (kanan) dan Leffih Sawat (kiri). – Gambar SNT/Ihsan Samora

“Pesta Magahau dapat memulih dan menguatkan semangat masyarakat momogun Rungus. Pesta ini adalah milik kita dan dirayakan bersama dengan kaum yang lain”, tegasnya.

Sementara itu, Samora turut memberi pengikhtirafan kepada individu yang berjaya dalam pelbagai bidang dengan menyampaikan Anugerah Khas kepada Raymond Majumah bagi kategori Pendidikan Rungus Terbaik, Ronn Langad (Penyanyi Lelaki Rungus Terbaik), Jetrina Mojohn (Penyanyi Wanita Rungus Terbaik),  Rapot Sanggong (Group Etnik Band Rungus Terbaik), Masdin Hezzie Metol (Komposer Rungus Terbaik),

Charles Osingko (Kompeser Rungus Terbaik), Brianna Marunsai (Penyanyi Harapan Rungus Terbaik),  Clayrissa Hennry Ogodong (Pagent Rungus Terbaik)

Pemenang pertandingan Monurizak (menyanyi dalan bahasa Momogun Rungus) dimenenangi oleh Medkhatu Simpong, naib johan dan ketiga masing-masing milik Stefanus Nodibil dan Leffih Sawat. – SabahNewsToday