Pilih Bahasa

Pesta Tagunggu wadah satukan etnik Sungai

Ronald (tiga dari kiri) menerima cenderamata selepas merasmikan Pesta Tagunggu ke-12 di Pekan Daerah Kecil Paitan. – Gambar SNT/Ihsan unit media Parlimen Beluran

PAITAN: Pesta Tagunggu yang diraikan setiap tahun merupakan wadah penyatuan masyarakat etnik Sungai di Paitan, Sugut, kata Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee.

Beliau berkata pesta itu sejak sekian lamanya dianjurkan telah menjadi satu acara tahunan yang penting di daerah tersebut.  

Beliau berkata, Pesta Tagunggu telah dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Beluran sejak tahun 2006, bertujuan untuk mempamerkan seni budaya musik tradisi etnik Sungai di Sugut.

Ronald bersalam dengan orang ramai yang hadir ke Pesta Tagunggu ke-12 di Pekan Daerah Kecil Paitan. – Gambar SNT/Ihsan unit media Parlimen Beluran

“Pengajuran pesta ini selama 13 tahun kini telah berjaya tanamkan semangat mendalam terhadap musik tradisi dalam kalangan generasi muda etnik ini.

“Anak-anak muda etnik Sungai juga kini lebih yakin untuk menonjolkan seni budaya mereka,” katanya ketika merasmikan Pesta Tagunggu ke-12 di Pekan Daerah Kecil Paitan.

Hadir sama di majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah Beluran, Leprus Giswa dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Beluran, Kamariah Ismail.

Ronald berkata dalam bidang seni suara, artis-artis bahasa Sungai juga mulai mencipta nama di persada seni.

Sebahagian daripada orang ramai yang menghadiri Pesta Tagunggu ke-12 di Pekan Daerah Kecil Paitan. – Gambar SNT/Ihsan unit media Parlimen Beluran

Beliau berharap agar seni budaya etnik Sungai terus diangkat hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Ronald yakin dan percaya usaha yang giat dilaksanakan oleh penggerak seni etnik Sungai akan meletakkan ethnik itu setaraf dengan kejayaan ethnik lain di negeri ini, terutamanya dalam bidang seni dan budaya.

“Saya juga menyeru kepada masyarakat di Beluran agar menyertai dan bergiat dalam persatuan-persatu seni budaya yang berdaftar. Ini penting agar bantuan daripada kerajaan lebih mudah disalurkan kepada golongan sasar,” katanya. – SabahNewsToday