Pilih Bahasa

Pesta Tambur berpotensi jadi produk pelancongan Lahad Datu

Gambar Bernama

LAHAD DATU, 20 Okt — Penganjuran Pesta Tambur di daerah kecil Tungku yang berasaskan warisan kesenian dan budaya pelbagai etnik derpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan baharu Lahad Datu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata Pesta Tambur yang julung kali diadakan perlu dilaksanakan tahun depan pada skala yang lebih besar, sekali gus mencadangkan agar nama pesta itu juga diubah kepada Pesta Tambur dan Tamu Besar Tungku.

“Kita mahu angkat Tungku sebagai antara kawasan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pesta Tambur 2019 di Dataran Tungku, kira-kira 69 kilometer dari pekan Lahad Datu dekat sini, hari ini.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, Pesta Tambur akan dimasukkan dalam kalendar tahunan pelancongan Sabah seperti dibangkitkan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assaffal P Alian.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pusat akan menyokong supaya pesta ini diadakan setiap tahun.

Menurut beliau, penganjuran Pesta Tambur itu sekali gus dapat memperkenalkan Tungku ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Penganjurannya juga bukti untuk disampaikan kepada mata dunia bahawa kawasan Tungku ini selamat untuk dilawati,” katanya.

Tambur bermaksud alat muzik tradisi gendang yang sinonim penggunaannya di pesta keramaian sekitar Tungku.

Di daerah kecil Tungku terdapat tujuh suku kaum iaitu Idahaan, Begak, Bajau, Dusun Silabukan, Dusun Segamo, Tidung dan Bugis

— BERNAMA