Pilih Bahasa

Petani disaran usahakan tanaman pertanian bernilai tinggi di pasaran

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

SIPITANG: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu golongan petani di negeri ini mengusahakan tananam pertanian yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.

Beliau berkata jenis tanaman sayuran serta buah-buahan yang mampu menembusi pasaran domestik dan luar negara akan meningkatkan pendapatan sekaligus memberikan pulangan lumayan kepada para petani tempatan.

Mohd Shafie (tiga dari kiri) dan Dr Yusof menunjukkan buah durian yang dipamerkan sempena Festival Buah-Buahan di Padang Top Ten Sipitang. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Kebolehpasaran perlu untuk memastikan galakan kepada industri pertanian kita berkembang maju, maknanya hasil tanaman petani itu hendaklah merangkumi jenis yang bernilai tinggi dan mampu menjana ekonomi.

“Kita juga perlu melihat dalam kerangka blueprint pertanian yang ada. Saya menggalakkan agar para petani kita menanam sayuran dan buah-buahan yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Buah-Buahan di Padang Top Ten Sipitang yang turut dihadiri Menteri Pelajaran dan Inovasi merangkap Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Mohd Shafie melakukan upacara pecah tanah pembangunan rumah kedai Sabah SUDC sambil diiringi Dr Yusof (kiri). – Gambar SNT/Ihsan JKM

Hadir sama ialah isteri beliau Datin Seri Shuryani Shuaib; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Frankie Poon dan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar.

Mengenai festival berkenaan Mohd Shafie berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kejayaan menganjurkan acara itu buat kali pertama tahun ini.

Katanya kejayaan itu adalah hasil kerjasama padu dan sokongan rakyat khususnya masyarakat di Sipitang yang berjaya merealisasikan penganjurannya.

Mohd Shafie (tengah) melakukan upacara perasmian Festival Buah-Buahan di Padang Top Ten Sipitang sambil beberapa menteri Kabinet yang hadir memberikan sokongan pada festival itu. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Dalam festival ini diperlihatkan keunikan sedia ada di Sipitang sama ada daripada sedi masyarakat, budaya, alam semula jadi, kesenian, makanan dan sebagainya.

“Saya yakin keunikan tersebut boleh memikat hati para pengunjung dan pelancong yang datang ke Sipitang,” katanya.

Dengan adanya pesta buah-buahan ini, beliau berkata ia akan dapat membantu penduduk setempat menjual hasil ternakan tanaman mereka bagi meningkatkan mata pencarian mereka. – SabahNewsToday