Pilih Bahasa

Peter Anak Umbuas dilantik OCPD Tawau baharu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pemangku Asisten Komisioner, Peter Anak Umbuas dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tawau baharu.

Beliau yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Semporna menggantikan pemangku Ketua Polis Daerah yang juga Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Nor Azizulkifli Mansor.

Nor Azizulkifli memangku jawatan tersebut apabila Asisten Komisioner Fadil Marsus berpindah untuk memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah (D7C) Anti Pemerdangan Orang/ Penyeludupan Migran, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner pada Mac lalu.

Majlis serah terima tugas berlangsung hari daripada Nor Azizulkifli yang memangku jawatan Ketua Polis Daerah selama dua bulan kepada Peter disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah di sini hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, (tengah) menyaksikan Majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tawau antara Pemangku Asisten Komisioner, Peter Anak Umbuas (kanan) dan Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Nor Azizulkifli Mansor. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Dalam ucapannya, Omar berkata memandangkan daerah ini berdekatan dengan negara Indonesia dan Filipina maka itu antara penugasan penting bagi polis daerah Tawau ialah untuk pastikan kedaulatan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana pihak.

Beliau berharap Peter dapat mempamerkan prestasi baik dalam merealisasikan hasrat menjamin visi dan misi PDRM.

Katanya Peter telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Ketua Polis Daerah Tawau iaitu satu jawatan penting dan penggerak utama dalam sesuatu daerah.

“Saya percaya bahawa kenaikan pangkat adalah satu kepercayaan yang tinggi dalam kebolehan beliau yang sebelum ini sebagai Ketua Polis Daerah Semporna,” katanya.

Omar menerangkan sebarang kejayaan bagi IPD Tawau bukan sahaja bergantung Peter tetapi ia juga atas sokongan yang akan diberikan pegawai-pegawainya.

“Justeru itu, saya berharap semua akan memberi sokongan kepada beliau bagi menjamin sebarang kejayaan dari semasa ke semasa dalam pembanterasan jenayah dan menaikkan lagi imej polis,” ujar Omar.

Beliau juga mengucapkan terimakasih kepada Norazizulkifli atas prestasi yang baik selama memangku jawatan Ketua Polis Daerah Tawau.

Sementara itu, Peter berjanji akan menjalankan tugas seperti yang diamanahkan sebaik mungkin berdasarkan undang-undang.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk mengetuai PDRM Tawau, Peter berharap kerjasama yang kuat daripada pegawai rank and file, rakan media dan penduduk setempat.

Menurutnya, ini akan membantu beliau dalam menjalankan tugas Ketua Polis Daerah dengan lebih baik.-SabahNewsToday