Pilih Bahasa

Peter beri kata dua kepada Skuad Tambadau

KOTA KINABALU: Skuad senior Tambadau Sabah perlu bangkit dapatkan kemenangan dalam pertemuan menentang Kelab Bola Sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) di Stadium Likas Sabtu ini atau berhadapan dengan tindakan drastik Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Pemangku Presiden Safa, Datuk Peter Anthony berkata perlawanan terakhirnya di pusingan pertama saingan Liga Premier itu adalah peluang terakhir untuk pasukan membuktikan kemampuan sebenar.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

Peter memberi kata dua itu ekoran kemerosotan mendadak pasukan gagal menang tiga perlawanan terakhirnya.

“Jika masih gagal meraih kemenangan Sabtu ini, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan drastik termasuk menggugurkan pemain yang gagal memberikan aksi ditahap yang diharapkan.

“Kita ada peluang merombak pasukan jika perlu bila pintu perpindahan pemain dibuka 2-29 Mei depan.

“Kita akan lakukan apa saja sahaja termasuk membuat rombakan bagi memastikan Sabah diwakili pasukan terbaik di mana musim ini sasaran utama kita adalah naik ke Liga Super musim depan.

“Kita kini masih di landasan baik untuk mengotakan sasaran itu dan tidak mahu ianya terjejas,” kata Peter ketika ditemui di sini, Selasa.

Peter berkata, kalah dua perlawanan berturut-turut, 0-1 ditangan Kelantan United FC dalam saingan Piala FA dan 1-2 ditangan Selangor United dalam saingan Liga Premier sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah enam perlawanan liga sebelum itu, mengecewakannya.

Skuad kendalian Jelius Ating gagal bangkit menebus kekecewaan itu apabila hanya mampu seri 1-1 dengan UiTM FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Likas, Sabtu lalu.

“Kita kecewa dengan kemerosotan mendadak ini. Kita sudah melihat pasukan ini bermain dengan baik (pada perlawanan-perlawanan sebelum ini) tetapi apa yang kita saksikan pada Sabtu lalu amat mengecewakan.

“Kita boleh menang perlawanan itu dengan mudah..ada tiga empat peluang keemasan tetapi dikecewakan oleh penyudah yang tumpul. Kemerosotan terutama sentuhan penyudah ini perlu diatasi segera bagi memastikan sasaran kita ke Liga Super kekal relevan,” katanya.

Sehubungan dengan itu beliau berharap, pasukan dapat membuktikan bahawa mereka boleh terus menjadi sandaran pasukan mengharungi saingan musim ini.

“Saya dimaklumkan, tiga atau pemain utama yang tidak dapat disenaraikan sebelum ini kerana kecederaan dan penggantungan permainan akan kembali memperkuatkan pasukan Sabtu ini. Saya harap ia perkembangan yang akan mengembalikan rentak kemenangan pasukan,” katanya.

Sabtu lalu empat tonggak utama tidak dapat disenaraikan iaitu ketua pasukan Rawilson Batuil dan Mohd Azizan Nordin kerana menjalani penggantungan satu permainan (telah mengumpul tiga kad kuning) serta Maxsius Musa dan Sabri Sahar yang berada dalam senarai kecederaan.

Pengganti Sabri, Ricco Nigel Milus turut mengalami kecederaan.

Peter berkata, pengurusan telah melakukan yang terbaik peranannya termasuk menjaga kebajikan pemain dan berharap pemain juga dapat melaksanakan peranan mereka dengan baik.

Tambadau Sabah kini dikedudukan kedua carta liga dengan 15 mata selepas sembilan perlawanan dengan rekod empat menang, tiga seri dan dua kalah iaitu tiga mata di belakang pendahulu, JDT II (18 mata).

Bagaimanapun, tiga pasukan di bawah Tambadau Sabah terus memberi tekanan iaitu UiTM FC dan Selangor United yang masing-masing telah mengumpul 14 mata dan Terengganu FC II (12 mata).-SabahNewsToday