Pilih Bahasa

Peter gembira Sabah menang lagi tetapi belum ada apa-apa untuk diraikan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony gembira dengan pencapaian Tambadau Sabah tetapi menegaskan belum ada apa yang perlu diraikan kerana saingan masih panjang.

“Saya gembira dengan pencapaian pasukan setakat ini tetapi belum ada apa yang perlu diraikan kerana saingan masih panjang…pusingan pertama pun belum selesai.

Peter Anthony – Gambar fail SNT

“Selaku peneraju Safa, saya akan terus berusaha  melakukan apa sahaja bagi memastikan pasukan Tambadau Sabah terus maju dan saya yakin kita kini di landasan yang betul untuk memburu sasaran naik ke Liga Super musim depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Tambadau Sabah menumbangkan skuad Harimau Kumbang Pulau Pinang 2-0 dalam saingan Liga Premier di Stadium Likas, Sabtu lalu.

“Dengan kerjasama semua pihak melaksanakan peranan masing-masing baik di pihak pentadbiran, pengurusan, pegawai pasukan, pemain dan penyokong, saya yakin kita mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak Sabah.

“Saya berharap pencapaian baik setakat ini terus menyemarakkan semangat semua terutamanya pasukan untuk lebih berkerja keras,” kata Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah Jelius Ating berkata anak buahnya berhak menang berdasarkan sikap serta cara persembahan mereka semalam.

Jelius Ating. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Kita sebenarnya boleh menang lebih daripada dua gol tetapi dalam perlawanan bolasepak berapa sahaja gol yang penting adalah kemenangan,” katanya.

Mengenai kecederaan yang dialami oleh pemain sayap kanan, Sabri Sahar, Jelius berkata mereka harus melihat laporan daripada doktor terlebih dahulu.

Sekiranya kecederaan itu teruk dan Sabri harus diganti, Jelius akan terus beri kepercayaan kepada para pemain yang berada dalam skuad sekarang.

Pakar tendangan sudut skuad Tambadau Sabah itu digantikan oleh Ricco Nigel Milus pada separuh masa pertama.

Kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Likas, Sabtu lalu memberikan mata ke-14 selepas tujuh perlawanan untuk Tambadau Sabah menyamai pencapaian pusingan pertama (10 perlawanan) musim lalu.

Buat julung kalinya juga Sabah kini menduduki tangga teratas memintas pendahulu sebelumnya, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang diikat dengan keputusan seri 1-1 oleh Sarawak.

Gambar SNT/Ihsan www.scoreboard.com

JDT II juga memiliki 14 mata tetapi dijarakkan perbezaan jaringan yang berpihak kepada Tambadau Sabah.

UiTM FC juga terus memberi tekanan kepada dua pasukan teratas itu selepas menumpaskan Selangor United 2-1 untuk mengumpul 13 mata di tangga ketiga.

JDT II dan UiTM bagaimanapun kurang satu perlawanan berbanding Tambadau Sabah.

Kemenangan ke atas Pulau Pinang melebarkan rekod tanpa kalah Tambadau Sabah kepada enam perlawanan berturut-turut selepas memulakan musim ini dengan kekalahan 1-2 ditangan JDT II di gelanggang sendiri.

Kedua-dua gol Tambadau Sabah dijaringkan penyerang import dari Brazil, Luis Carlos Junior pada minit ketiga dan 52.

Skuad bimbingan Jelius Ating akan beralih tumpuan kepada saingan kalah mati Shopee Piala FA menentang Kelantan United FC di tempat lawan 3 April ini.-SabahNewsToday