Pilih Bahasa

PETER HARAP KELAB PENYOKONG TERBUKA TERIMA PEMBAHARUAN

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pemangku presiden Safa Datuk Peter Anthony berkata pengurusan baharu Safa mengambil sikap terbuka terhadap kelab-kelab penyokong pasukan bolasepak yang sedia ada di negeri ini.

Beliau akui terdapat antara kelab-kelab ini yang telah menyuarakan tentangan dengan pembaharuan yang dibuat oleh pengurusan baharu Safa.

Peter (kanan) menyerahkan t shirt Tambadau kepada pengerusi Fan Club Tambadau Sabah Dr Liawas Barakong di Stadium Likas semalam. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Tidak apa kalau mereka tidak bersetuju, ini negara demokrasi,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Tambadau Sabah Fan Club di Stadium Likas di sini semalam.

Namun apa yang penting katanya ialah segala masalah berkenaan pembayaran gaji terutamanya sudah diselesaikan apabila Safa diambil alih oleh pengurusan baharu tersebut.

“Kita terbuka dalam hal ini dan harap mereka akan terima pembaharuan ini. Kita tiada agenda tersirat,” katanya.

Baru-baru ini terdapat isu mengenai kelab penyokong pasukan Sabah yang menjalankan kempen boikot pengurusan baharu Sabah berikutan beberapa peraturan baharu yang dikenakan kepada mereka.

Sementara itu, Peter berkata terdapat kelewatan dalam melancarkan Tambadau Sabah Fan Club berikutan komitmen tugas.

“Tahniah kepada pengerusi fan club kerana berjaya mendapat 800 ahli. Saya berharap peminat di sekitar Kota Kinabalu pun akan dapat datang menyokong pasukan Sabah,” katanya.

Antara kebaikan menjadi ahli Tambadau Sabah Fan Club selain mendapat T Shirt percuma, mereka juga akan mendapat pas tahunan percuma namun terhad kepada yang awal mendaftar.

Begitu juga sekiranya Sabah bermain di tempat lawan, ahli-ahli Fan Club Tambadau Sabah akan turut dibawa bersama bagi memberi sokongan kepada pasukan.

Peter berkata dengan dua kemenangan dan satu seri Sabah kini berada dalam kedudukan selesa Liga Premier.

“Kita harap momentum ini akan berterusan pada hari Sabtu (2 Mac) ini menentang pasukan PDRM (di Stadium Likas),” katanya.-SabahNewsToday