Pilih Bahasa

PETI DAN KERTAS UNDI PARLIMEN KIMANIS AKAN DIPERIKSA SEMULA

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihanraya pada Jumaat membenarkan permohonan calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang untuk memeriksa semula peralatan pilihanraya termasuk kertas undi dan dokumen penjumlahan undi yang digunakan dalam Pilihanraya Umum ke-14 tahun lalu bagi kerusi Parlimen Kimanis.

Hakim Mahkamah Tinggi, Lee Heng Cheong membuat keputusan tersebut pada petang Jumaat melalui proseding yang dijalankan secara teleconference.

Peguam, Syaiful Sidin yang mewakili Karim memberitahu bahawa tarikh untuk pembukaan semula peti-peti undi kawasan Kimanis akan dibuat selepas Suruhanjaya Pilihanraya mendapat notis arahan mahkamah.

Menurut Syaiful, lebih kurang 20 agen pilihanraya akan dipanggil memberi keterangan.

Jadual perbicaraan petisyen pilihanraya Kimanis telah ditetapkan bermula 8 – 12 April, 15-18 April, 22-26 April, 17-28 Jun dan 1-12 Julai

Sama seperti petisyen pilihanraya kerusi parlimen Sipitang, petisyen yang difailkan oleh Karim telah ditolak oleh Mahkamah Pilihanraya pada Oktober tahun lalu.

Karim kemudian membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan yang pada hujung bulan lalu membuat keputusan menolak keputusan Mahkamah Pilihanraya tersebut.

Mahkamah Persekutuan mengarahkan petisyen itu dibicarakan oleh Mahkamah Pilihanraya dihadapan hakim baharu.

Dalam petisyen tersebut, Karim memohon deklarasi mahkamah keputusan pilihanraya kerusi Kimanis yang dimenangi bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sebagai batal dan tidak sah.

Karim menamakan Anifah sebagai responden Pertama, pegawai pilihanraya Kimanis dan SPR masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Selain Syaiful, Karim juga diwakili oleh Frederick Chang sementara Ansari Abdullah dan Rizwandean Borhan mewakili Anifah.-SabahNewsToday