Pilih Bahasa

PETISYEN PILIHANRAYA SIPITANG, KIMANIS DIDENGAR SEMULA 1 MAC

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Mahkamah hari ini memutuskan 1 Mac sebagai tarikh untuk mendengar sebutan Petisyen Pilihanraya Kimanis dan pengurusan kes bagi Petisyen Pilihanraya Sipitang di Mahkamah Pilihanraya.

Kedua-dua petisyen yang difailkan oleh calon Parti Warisan Sabah pada mulanya telah ditolak dengan kos oleh Mahkamah Pilihanraya tahun lalu.

Namun, Mahkamah Persekutuan setelah mendengar rayuan daripada kedua-dua petisyener menolak keputusan Mahkamah Pilihanraya tersebut pada 18 Februari lalu.

Mahkamah Persekutuan mengarahkan kedua-dua petisyen pilihanraya dibicarakan di Mahkamah Pilihanraya di sini.

Oleh itu hari ini, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Cindy Mc Juce Balitus dalam kamarnya menetapkan 1 Mac bagi pengurusan kes petisyen pilihanraya Kimanis.

Hakim baharu yang akan mendengar petisyen ini ialah Datuk Lee Heng Cheong dari Mahkamah Tinggi Sibu, Sarawak.

Sementara itu, tarikh 1 Mac bagi sebutan Petisyen Pilihanraya Sipitang di Mahkamah Pilihanraya diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ismail Brahim dalam kamarnya.

Petisyen Pilihanraya Sipitang akan diambil alih oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Azhahari Kamal Ramli.

Sebelum ini telah dilaporkan calon Warisan bagi kawasan parlimen Kimanis Datuk Karim Bujang mencabar keputusan pilihanraya umum ke-14 pada 9 Mei tahun lalu yang menyaksikan keputusan berpihak kepada Datuk Anifah Aman dari Barisan Nasional (BN).

Mewakili Karim yang telah menamakan Anifah, Pegawai Pilihanraya Kimanis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masing-masing sebagai Responden pertama, kedua dan ketiga, pada hari ini ialah peguam Syaiful Sufyyian Sidin.

Manakala, Rizwandean Bukhari M. Borhan dan Wilson Chang Khai Sim mewakili Anifah.

Sementara itu, calon Warisan bagi kerusi parlimen Sipitang, Noor Hayaty Mustapha memohon deklarasi bahawa keputusan PRU14 yang berpihak kepada calon BN, Yamani Hafez Musa sebagai tidak sah dan batal.

Dalam petisyennya, Noor Hayaty menamakan Yamani, Pegawai Pilihanraya Sipitang dan SPR masing-masing sebagai Responden pertama, kedua dan ketiga.

Tampil bagi Noor Hayaty hari ini ialah peguam Chung Jiun Dau, Melanie Tann Mei Yan dan Mohammed Fareez Mohammed Salleh manakala Yamani diwakili oleh peguam Rizwandean dan Azhier Farhan Arisin.

Dalam kedua-dua petisyen, SPR diwakili oleh Faizal Sarbi dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.-SabahNewsToday