Pilih Bahasa

PGA Beluran rampas kulit kayu bakau bernilai RM52,000

Oleh Junaidi Ladjana

Anggota PGA Beluran menahan dua lelaki dan merampas kulit kayu bakau dalam Op Khazanah di Hutan Simpan Sungai Sugut. – Gambar SNT/Ihsan PGA

BELURAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki warga asing dan merampas kulit kayu bakau hampir empat tan dianggarkan bernilai RM52,000 di Hutan Simpan Sungai Sugut, Pulau Jambongan di sini semalam.

Tangkapan dan rampasan itu dilakukan sepasukan Tiger Platun Batalion 20 PGA Beluran dalam Op Khazanah kira-kira pukul 5 petang.

Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner  Mohd Nasaruddin M Nasir berkata ketika kejadian pihaknya sedang menjalankan Op Khazanah lalu terserempak dua lelaki di hutan berkenaan yang sedang leka memotong kayu bakau.

Katanya anggota bertugas kemudian memperkenalkan diri sebelum membuat pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan berkenaan.

Longgokan kayu bakau disyaki diambil dari hutan simpan di Hutan Simpan Sungai Sugut Beluran. – Gambar SNT/Ihsan PGA

“Sebanyak empat longgokan kulit kayu bakau ditemui di lokasi berkenaan dan setiap longgokan kayu itu dianggarkan seberat satu tan.

“Turut ditemui dan dirampas, tiga sampan kecil, tukul dan kapak disyaki digunakan untuk kegiatan itu. Pondok kecil turut didapati didirikan dalam hutan simpan itu,” katanya menerusi kenyataan media.

Katanya kedua-dua suspek berusia 36 dan 37 yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai warga Filipina.

“Kedua-dua suspek ditahan kerana dipercayai menceroboh hutan simpan. Nilai keseluruhan rampasan kulit kayu bakau itu berjumlah RM52,000.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan lanjut,” katanya. – SabahNewsToday