Pilih Bahasa

PGA tahan empat lelaki, rampas bakakuk, peluru dan syabu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 menahan empat lelaki dan merampas senapang buatan sendiri jenis bakakuk beserta peluru di kawasan Batu 10 Kalabakan, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mustapha Othman berkata keempat-empat suspek berusia 22 hingga 41 tahun ditahan selepas tiga motosikal yang dinaiki suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan, jam 8.30 malam.

Keempat-empat suspek ditahan kerana positif dadah jenis syabu. Gambar SNT / Ihsan PGA Tawau

“Anggota strike force kemudian menjalankan pemeriksaan dan mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan susulan turut menemukan satu peket lutsinar disyaki berisi dadah jenis syabu dan peluru hidup di beg sandang salah seorang suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian menunjukkan lokasi suspek menyembunyikan senjata api dan membawa kepada penemuan bakakuk serta dua peluru hidup. Gambar SNT / Ihsan PGA Tawau

Beliau berkata susulan penemuan barangan itu, pemilik peluru kemudian menunjukkan lokasi suspek menyembunyikan senjata api.

“Hasilnya kita menemukan senapang bakakuk beserta dua lagi peluru yang disembunyikan di dalam semak.

“Pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa permit. -SabahNewsToday