Pilih Bahasa

PH menang kerana sokongan dan undi semua kaum: Anwar Ibrahim

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

 

KOTA KINABALU: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim menjelaskan tanpa sokongan padu rakyat pelbagai kaum terhadap perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan hari ini, beliau mungkin masih berada di penjara Sungai Buloh.

Anwar berkata, selama 20 tahun berjuang dalam menuntut keadilan daripada kerajaan terdahulu, beliau bersyukur apabila Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhamad V, turut berkenaan membebaskannya daripada penjara.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana kalau bukan pengorbanan dan sokongan saudara terhadap (PH), kita tidak ada perubahan, kerajaan tidak bertukar, Tun Dr Mahathir Mohamed tidak menjadi Perdana Menteri dan saya masih di penjara Sungai Buloh.

Anwar bersama Christina dan ADUN Inanam, Kenny Chua semasa sambutan Hari Malaysia anjuran PKR Api-Api di Magellan Sutera di sini hari ini. Gambar Bernama

“Saya tidak pernah kata perubahan hari ini adalah untuk Anwar seorang sahaja, saya katakan saya cuma seorang aktivis dalam usaha membawa perubahan. Siapa sangka kawasan jauh pun PH boleh menang.. kita menang undi Melayu, Melanau, Kadazandusun, Cina dan India,” katanya ketika berucap dalam sambutan Hari Malaysia dan Hi-Tea anjuran DUN Api-Api di Magellan Sutera, di sini hari ini.

Hadir sama di majlis itu ialah, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew dan beberapa pemimpin kanan PKR negeri serta wakil-wakil PKR seluruh negeri.

Anwar berkata, beberapa pemimpin negara termasuk Presiden Indonesia, Jokowi dan bekas Timbalan Presiden Amerika Syarikat, Al Gore turut bertanya kepadanya bagaimana selepas pergolakan Anwar dan Dr. Mahathir pada 1998, kedua-dua pemimpin itu kini dapat bersatu dalam kesepakatan di bawah pentadbiran PH.

Anwar semasa berucap di sambutan Hari Malaysia anjuran PKR Api-Api di Magellan Sutera hari ini. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Menurut bakal Presiden PKR itu, dalam perbincangannya dengan Dr Mahathir, soal menjadi Perdana Menteri kelapan bukan faktor utamanya bersetuju mahu berganding dan bersatu semula dengan bekas `bos’ beliau itu, sebaliknya, ia dilakukan demi perjuangan untuk membela rakyat dan negara.

Beliau berkata, untuk menyelamatkan negara ini daripada ketidakadilan dan pelbagai masalah perubahan mesti dilakukan dan ia perlu dibuat diperingkat kepimpinan parti.

“Sebab bila bangkitkan soal Anwar dan D. Mahathir ini.. perjuangan kita adalah sama iaitu untuk rakyat. Kita mahu selamatkan negara, kalau hendak selamatkan negara, kita buang yang keruh, kita sepakat bangunkan negara.

“Bukan soal sekarang Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri, selepas itu Anwar pula jadi Perdana Menteri… bukan itu, yang penting kita mahu bersatu, perkara yang lalu sudah lepas,” katanya. – SabahNewsToday