Pilih Bahasa

Phoong Jin Zhe angkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan

KOTA KINABALU:  Phoong Jin Zhe mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan di Istana Negeri, di sini pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang itu mengangkat sumpah dihadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sementara upacara menandatangani watikah pelantikan beliau disaksikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Panglima  David Wong Dak Wah.

Majlis Istiadat Angkat Sumpah Kabinet Negeri Sabah sedang berlangsung. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Phoong mengantikan Datuk Frankie Poon yang mengambil alih sepenuhnya portfolio Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang dipangkunya sejak kematian penyandang mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Menurut Phoong, sebagai menteri baharu beliau akan melaksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada anak-anak muda dan meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada.

Phoong menandatangani watikah pelantikan disaksikan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Sebarang cadangan, pandangan dan komen daripada anak-anak muda amat saya alu-alukan dalam meningkatkan perkhidmatan, aktiviti-aktiviti dan idea baharu yang lebih efektif.

“Terima kasih juga saya ucapkan atas kepercayaan yang diberikan untuk menyandang jawatan ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah.

Phoong bersalaman dengan Tun Juhar sambil diperhatikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick (kiri). Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Tambah beliau, sebarang pendapat dan pandangan boleh disalurkan melalui media sosial atau terus ke pejabatnya di Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sabah yang terletak di Wisma Muis.

Phoong bersalaman dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Turut kelihatan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bersama isteri. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,  jemaah kabinet negeri serta pembantu-pembantu menteri.-SabahNewsToday