Pilih Bahasa

Piala Borneo Malaysia: MMT Jr azam tebus kekecewaan dua tahun berturut-turut

KOTA KINABALU: Selepas dua kali kecewa di final, Media Mix Team Junior (MMT Jr) kembali beraksi dalam kejohanan bola sepak Piala Borneo Malaysia 2019 dan kali ini, mereka memburu kejuaraan bagi kategori Bawah 12 Tahun (B-12) yang akan bermula pada Selasa hingga Khamis ini.

Pasukan yang majoritinya dibarisi pemain daripada pedalaman selain daripada Kota Belud dan Penampang itu sekadar meraih naib juara bagi kategori B-11 untuk dua tahun berturut-turut, sebelum ini.

Pasukan MMT Jr siap sedia galas tugas. Gambar SNT/Ihsan MMT Jr

Pengurus MMT Jr, Willie Jude Junaidi, berkata pasukan itu telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan kali ini dengan hampir kesemua pemain mereka adalah muka sama seperti tahun lalu.

“Tahun lalu kami menggunakan pemain B-11 untuk bermain dalam dua kategori termasuk B-12 namun kami sekali lagi kurang bernasib baik apabila sekali lagi dikecewakan di final.

“Kali ini, hampir semua pemain sama akan sekali lagi membawa cabaran MMT Jr dan fokus kami adalah kategori B-12, sudah pasti sasaran kami adalah untuk menjadi juara selepas dua kali kecewa,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Willie berkata di samping bermain untuk menang, objektif lain MMT Jr menyertai kejohanan itu adalah bagi memberi pendedahan serta peluang kepada para pemain untuk beraksi di pentas lebih besar, lebih-lebih ianya turut disertai pasukan luar negara.

“Pada setiap tahun, para pemain sangat teruja untuk beraksi dalam kejohanan Piala Borneo ini, lebih-lebih lagi mereka dapat bersaing dengan pemain daripada luar negara.

“Saya berharap mereka (pemain) akan buktikan keupayaan mereka, kanak-kanak ini sangat berbakat dan agak merugikan jika kita tidak memberi peluang kepada untuk beraksi di kejohanan antarabangsa seperti ini,” katanya.

Sebanyak 10 pasukan menyertai kategori B-12 tahun ini dengan MMT Jr diundi dalam kumpulan A bersama dua pasukan daripada Australia iaitu Australia Institute Football dan Northern Inland Football manakala dua lagi pasukan ialah TABS (Sabah) dan FC Kuala Lumpur.

Kumpulan B pula terdiri daripada pasukan TUFC Kids Kota Belud, ATPP Shah Alam, Turf City (Singapura), Caloundra FC (Australia), Malaya (Filipina).

Pusingan awal kejohanan iaitu pada Selasa dan Rabu akan berlangsung di Stadium Penampang manakala peringkat playoff dan final akan berlangsung di Stadium Likas pada Khamis.-SabahNewsToday