Pilih Bahasa

PIALA FA LIGA KDM 2018/2019 BERMULA 2 MAC

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jawatankuasa penganjur bersama wakil pasukan semasa undian Piala FA Bola Sepak KDM Malaysia di Kota Kinabalu. – Gambar SNT / Ihsan KDM

KOTA KINABALU: Pertandingan Piala FA Kejohanan Liga Bola Sepak KDM Malaysia 2018/2019 bakal membuka tirainya pada 2 Mac ini membabitkan sebanyak 32 buah pasukan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Setiausaha Kejohanan, Jellysius Saimpon berkata undian perlawanan bagi menentukan pasukan yang bersaing telah diadakan semalam bagi kesemua pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Menurutnya dalam undian tersebut menyaksikan juara edisi pertama (2014-2015) iaitu pasukan Papar diundi bertemu Sugut manakala naib juara, Kota Belud berhadapan dengan Melalap.

“Juara liga edisi pertama dan Piala Sumbangsih musim ini, Keningau pula diundi bertemu dengan Sepanggar.

“Perlawanan Piala FA ini dijalankan secara kalah mati menerusi pertemuan timbal balik (main di tempat sendiri dan tempat lawan),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perlawanan akhir Piala FA dijadualkan berlangsung pada 5 Mei manakala pertandingan liga telah selesai di peringkat kumpulan. – SabahNewsToday