Pilih Bahasa

Piala Malaysia 2019: Sabah buru mata pertama di Likas malam ini

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah memburu mata pertama di hadapan penyokong sendiri dalam kempen Piala Malaysia musim ini menentang pasukan Tok Gajah, Pahang di Stadium Likas malam nanti.

Pemain Sabah mempunyai banyak sebab untuk menunjukkan prestasi cemerlang dalam perlawanan ini termasuk menebus kehampaan mereka setelah tewas dua kali berturut-turut di gelanggang lawan dalam perlawanan Kumpulan C.

Walaupun begitu, Sabah harus bersedia berdepan dengan pasukan Tok Gajah yang begitu “on-form” setelah menang kedua-dua perlawanan kumpulan menentang Perak dan Pulau Pinang.

Dalam hal ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Peter Anthony mahu pemain terus kekal fokus dan percaya dengan kemampuan sendiri.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

“Saya percaya siapa pun yang akan diturunkan mampu menggalas tugas memburu kemenangan. Mereka hanya perlu fokus dan bersungguh-sungguh kerana saya melihat pemain kita ada kemampuan dan kelebihan tersendiri.

“Jadikan dua kekalahan sebelum ini sebagai pembakar semangat menentang Pahang sekaligus membuktikan bahawa pasukan Tambadau Sabah adalah antara pasukan terbaik di Malaysia,” kata Peter.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah juga berharap juara Liga Premier 2019 itu menjadikan dua kekalahan sebelum ini sebagai pengajaran bagi memburu kemenangan pertama malam ini.

“Kalau kita lihat, dua kekalahan sebelum ini lebih kepada disebabkan kelalaian sendiri, Dari segi kualiti, Sabah tidak jauh berbeza dengan lawan. Kita kalah 3-0 kepada Perak termasuk dua jaringan yang berlaku pada masa kecederaan di setiap babak.

“Ketika menentang Pulau Pinang, kita (Sabah) lebih banyak menguasai permainan tetapi dinafikan untuk pulang sekurang-kurangnya dengan satu mata ekoran jaringan sendiri yang memberikan kemenangan kepada lawan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Peter mahu pemain menjadikan pertemuan dengan Pahang malam ini sebagai titik mula kebangkitan.

“Bukan tugas mudah kerana Pahang sudah menunjukkan taraf mereka dengan dua kemenangan yang meletakkan mereka selaku pendahulu tetapi kita sudah tiada pilihan selepas kalah dua perlawanan sebelum ini.

“Kita perlu menang untuk terus menghidupkan peluang ke suku akhir. Oleh itu saya mahu pasukan jadikan setiap perlawanan umpama perlawanan penentuan. Main seperti ia adalah perlawanan akhir … beraksi sebagai pejuang yang sangat dahagakan kemenangan.

“Saya juga berharap lebih ramai penonton datang memberi sokongan dan menjadi pemain ke-12 kepada pasukan Tambadau kita,” katanya.

Peter berkata amat penting untuk pemain memberikan persembahan terbaik kerana prestasi mereka dalam saingan Piala Malaysia ini juga antara yang diambil kira bagi menentukan kedudukan mereka dalam pasukan musim depan.

Nasib Tambadau Sabah mengejar sasarannya ke separuh akhir bergantung kepada baki empat perlawanan termasuk perlawanan malam ini.

Sabah kini di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata manakala Pahang mendahului dengan enam mata. Perak dan Pulau Pinang masing-masing telah mengutip tiga mata di atas Sabah.

Sambil itu, skuad bimbingan Jelius Ating hanya diperkuatkan tiga import malam ini ekoran kecederaan yang dialami pemain tengah, Ahmet Atayev.

Kedudukan pertahanan import, Park Tae Su juga samar kerana turut mengalami kecederaan.

Kesebelasan kemungkinan Sabah ialah Rozaimie Rohim, Rawilson Batuil, Park atau Mafry Balang, Evan Wensley, Randy Baruh, Mohd Azizan Nordin, Ricco Nigel Milus, Alto Linus, Jenius Karib atau Maxsius Musa, Aguinaldo Mendes dan Rodoljub Paunovic.-SabahNewsToday