Pilih Bahasa

Piala Malaysia: Skuad Tambadau bawa semangat juang ke Ipoh Perak

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Peter Anthony yakin pemain Sabah akan memberikan persembahan terbaik apabila berdepan pasukan Perak dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Ipoh esok.

Beliau menjelaskan skuad Tambadau telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan tersebut dengan membawa bersama semangat yang masih membara setelah menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini.

“Kita telah bersedia sepenuhnya termasuk pemain-pemain utama yang akan kita turunkan dalam perlawanan itu, saya berharap para pemain akan membuat kejutan di Perak nanti.

“Kita boleh nampak semangat mereka masih kuat dan kerjasama sepasukan ditunjukkan oleh pemain sepanjang LIga Perdana perlu diteruskan dalam Piala Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan skuad bimbingan Jelius Ating yang bakal bertemu juara bertahan Perak dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Ipoh malam esok.

Terdahulu Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri merasmikan Kejohanan Tenpin Boling Kementerian Pembangunan Infrastruktur Bersama Jabatan dan Agensi 2019 anjuran Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah di CPS Bowl, Centre Point di sini hari ini.

Katanya bagi penyokong Sabah yang tidak berkesempatan ke Ipoh dan tidak mahu ketinggalan menyaksikan perlawanan itu usah risau kerana ia dijangka akan disiarkan secara langsung dirangkaian TV2 RTM.

“Saya difahamkan perlawanan malam esok (4 Ogos) juga akan disiarkan secara langsung di TV2. Kita berharap dapat melihat keputusan baik dijelmakan skuad Tambadau,” katanya.

Peter turut mengucapkan tahniah kepada penyerang utama Tambadau, Rodoljub Paunovic yang telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Premier edisi Jun 2019. – SabahNewsToday