Pilih Bahasa

PIBG SK Sri Gaya agih 1,000 bubur lambuk

Oleh Mohd Adam Arinin

Bubur lambuk diagihkan kepada murid selepas tamat waktu persekolahan di SK Sri Gaya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengagihkan sebanyak 1,000 bungkus bubur lambuk kepada pelajar dan ibu bapa serta warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya sempena Ramadan kali ini.

Yang Dipertua PIBG SK Sri Gaya, Mohammad Arif Sakaran berkata Program Memasak dan Pengagihan Bubur Lambuk 2019 anjuran PIBG sekolah itu bertujuan mengeratkan silaturrahim di antara PIBG, sekolah dan ibu bapa pelajar.

Gotong-royong memasak bubur lambuk sedang dijalankan di SK Sri Gaya, Kota Kinabalu.- Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Program julung kali ini bermula seawal jam 5.30 pagi bagi membuat segala persiapan dan memasak bubur seterusnya mengagihkan bubur lambuk yang telah siap pada pukul 11 pagi ketika waktu sesi persekolahan tamat.

“Pihak PIBG sekolah juga berbesar hati dengan para ibu bapa yang turut membantu dari segi kewangan dan tenaga kerja untuk menyiapkan bubur lambuk ini,” katanya ketika ditemui SabahNewsToday di perkarangan sekolah selepas program tersebut.

Mohammad (tiga kanan) bergambar bersama ahli PIBG semasa bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk diagihkan di SK Sri Gaya Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Turut hadir Naib Yang Dipertuanya, Datin Sarina Kamaruddin dan Guru Besar SK Sri Gaya, Alhazmi Abdullah. – SabahNewsToday