Pilih Bahasa

Pihak berkuasa digesa pantau pelancong asing bekerja tanpa permit dalam industri selam skuba di Semporna

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Persatuan Penyelam Profesional Semporna menggesa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan terhadap pengendali perkhidmatan skuba yang disyaki mengupah pelancong asing sebagai pengajar skuba dan divemaster tanpa permit kerja.

Pengerusinya, Abdul Razak Ismail berkata terdapat segelintir pelancong asing yang menyalahgunakan pas lawatan mereka dengan bekerja dalam industri menyelam di daerah ini secara tidak sah.

Pengerusi Persatuan Penyelam Profesional Semporna, Abdul Razak Ismail (berdiri, tiga dari kanan) bersama ahli divemaster. Gambar SNT / Ihsan SPDA

“Mereka ini adalah divemaster dan pengajar skuba yang bekerja secara bebas (freelance). Mereka datang ke Sabah sebagai pelancong dengan membawa pelajar-pelajar mereka sendiri.

“Ketika melancong, mereka dalam masa yang sama akan mengajar skuba atau membimbing aktiviti selam dengan alasan pelajar mereka tidak pandai berbahasa Inggeris.

“Walaupun mereka adalah pengajar skuba atau divemaster yang berlesen namun mereka perlu mengikut undang-undang sedia ada. Mereka boleh saja menjadi penterjemah bagi membantu pengajar skuba dan divemaster tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata pengendali perkhidmatan skuba sepatutnya memberi keutamaan kepada orang tempatan dan bukannya membenarkan orang asing mengambil alih tugas mengajar dan membimbing.

Katanya, hal ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pelancong dari China namun terdapat juga pelancong dari negara lain melakukan kesalahan yang sama.

“Ramai pelancong bekerja secara sukarela sambil melancong. Sebagai balasan mereka dapat membuat aktiviti selam dengan mendapat tempat tinggal dan makanan secara percuma.

“Jika amalan ini berterusan dan tidak diberi perhatian sewajarnya, ia akan mengganggu peluang pekerjaan anak-anak tempatan.

“Justeru itu, kami dalam persatuan menggesa pihak berkuasa membuat pemeriksaan ke atas setiap pengusaha perkhidmatan skuba serta jeti-jeti pelancongan di Semporna bagi memastikan tidak ada lagi pelancong asing yang bekerja secara tidak sah,” katanya. – SabahNewsToday