Pilih Bahasa

Pihak sekolah digesa lahirkan lebih ramai pakar ekonomi

Oleh Alfred Petrus

TUARAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa sekolah-sekolah supaya terus bekerja keras dalam usaha melahirkan pakar professional terutama bidang ekonomi.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata dengan mengambil contoh Korea Selatan pada suatu masa dahulu yang agak miskin dan ketinggalan dari segi ekonomi namun mampu bersaing dengan negara-negara maju di zaman sekarang kerana kekuatan ekonominya.

Madius (tiga kiri) menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada salah seorang pelajar. Gambar SNT/Ihsan KP&P

“Dalam tempoh yang begitu singkat, Korea Selatan telah bangkit menjadi antara kuasa ekonomi yang terkuat di dunia dan semua ini berlaku kerana hasil kerja keras dan pendidikan yang cemerlang.

“Dengan adanya ramai pakar-pakar professional ekonomi dari Sabah suatu hari nanti, saya berharap negeri ini akan mampu menjadi ekonomi ‘warrior’ dan rakyat akan hidup lebih maju serta berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecermerlangan 2019 Sekolah Menengah (SM) Advent Tamparuli, hari ini.

Madius juga mengesa supaya pelajar-pelajar mengambil contoh displin yang begitu baik dari Jepun tentang kebersihan dan pembuangan sampah.

“Rakyat Jepun begitu prihatin dengan kebersihan dan di mana-mana bandar di negara itu termasuk ibu kota Tokyo, keadaan begitu kemas dan bersih.

“Sikap, disiplin dan keprihatinan tentang kebersihan harus dicontohi oleh pelajar-pelajar sekolah,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut, beliau berkesempatan menyampaikan hadiah-hadiah kepada pelajar yang mendapat keputusan cermerlang dalam perperiksaan PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau juga menyerahkan sumbangan biasiswa kepada 14 pelajar yang ditaja oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah hasil sumbangan oleh ahli-ahli parti Upko dan orang ramai. -SabahNewsToday