Pilih Bahasa

Pihak swasta diminta bersama kerajaan bantu golongan B40 – TPM

KOTA BELUD, 8 Feb (Bernama) — Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap lebih banyak pihak swasta berganding bahu dengan kerajaan dalam membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka boleh menggunakan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk tujuan itu secara berterusan dari semasa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail pada majlis Penyerahan Kompleks Sar Nur Taqwa Seri Mulia dan Sumbangan Beg sekolah di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Ia sejajar dengan komitmen kerajaan untuk sentiasa memastikan kebajikan warga B40 ini terbela kerana kita tidak mahu ada segmen yang tercicir dalam arus pembangunan negara,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan Kompleks Bangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nur Taqwa-Sri Mulia dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada pelajar keluarga golongan B40 sekolah agama rakyat berkenaan yang beroperasi di Kampung Rampayan Laut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail pada majlis Penyerahan Kompleks Sar Nur Taqwa Seri Mulia dan Sumbangan Beg sekolah di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Dr Wan Azizah mengambil contoh pembinaan bangunan baharu Kompleks SAR Nur Taqwa-Sri Mulia yang siap pada 2016 melalui peruntukan kerajaan pusat dan inisiatif penubuhan sekolah itu digerakkan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata penubuhan sekolah itu dapat membantu anak-anak agar dapat mendalami pendidikan agama khususnya di daerah Kota Belud.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail menyerahkan bag sekolah kepada murid pada majlis Penyerahan Kompleks Sar Nur Taqwa Seri Mulia dan Sumbangan Beg sekolah di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Saya juga kagum dengan usaha pelbagai pihak dalam menjayakan projek ini termasuk gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh bekerjasama dengan baik dan seia sekata dalam menguruskan sekolah ini,” katanya.

Justeru, beliau berpesan kepada gabungan NGO itu untuk menghargai amanah yang diberi dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi agar hasilnya nanti dapat dirasai seluruh ummah khasnya di Kota Belud.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail (tengah) menyaksikan perjanjian antara Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Agama Rakyat Nur Taqwa, Milus Abdul Wahab (kanan) dan Lembaga Pemegang Amanah Sekolah Agama Rakyat Sri Mulia, Tan Sri Pandikar Amin (kiri) pada majlis Penyerahan Kompleks Sar Nur Taqwa Seri Mulia dan Sumbangan Beg sekolah di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Lembaga SAR Nur Taqwa-Sri Mulia hari ini menyerahkan kompleks yang lengkap dengan dewan terbuka, dewan futsal dan padang terbuka kepada gabungan NGO terdiri daripada Persatuan Rumah Anak Yatim Nur Taqwa Kota Belud, Pertubuhan Wadah Percerdasan Ummah (WADAH) dan Persatuan Inisiatif Untuk Generasi (IFG).

Kompleks SAR itu yang mula beroperasi sejak 1 Feb lepas, mempunyai 186 murid dari Tahun Satu hingga Tahun Lima.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail pada majlis Penyerahan Kompleks Sar Nur Taqwa Seri Mulia dan Sumbangan Beg sekolah di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Pada awal penubuhannya pada 2001, sekolah berkenaan beroperasi di bangunan lama di Kampung Payu Putih.

— BERNAMA