Pilih Bahasa

Pilih bidang pendidikan awal kanak-kanak sebagai kerjaya

KOTA KINABALU: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diseru untuk tidak melepaskan peluang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Pengerusi Kolej SIDMA Sabah Dr. Morni Kambrie berkata bidang tersebut mempunyai peluang kerjaya yang dan boleh menjadi satu cabang pekerjaan sendiri seperti perniagaan dan membuka pusat asuhan kanak-kanak.

Bustam dan Morni menyampaikan penghargaan kepada salah seorang graduan daripada 411 graduan yang menerima diploma masing-masing.-Gambar SNT/Ihsan Kolej SIDMA

“Kolej SIDMA Sabah sendiri menawarkan kursus dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan setanding dengan institut pengajian tinggi luar negara yang mana peluang ini disediakan untuk mereka yang ingin melakar masa depan sebagai pengendali taman asuhan kanak-kanak, serta menjadi usahawan berjaya.

“Kita telah berjaya membuktikan bahawa kursus yang kita sediakan adalah setara dengan kursus pendidikan awal kanak-kanak seperti yang ditawarkan oleh institut pengajian tinggi di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej SIDMA kali ke-6 di ITCC Penampang dekat sini pagi tadi.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penasihat Luar bagi Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej SIDMA Dr. Bustam Kamri.

Seramai 411 graduan telah menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dalam majlis itu.

Morni mengambil gambar wefie bersama graduan Kolej Sidma Sabah.-Gambar SNT/Ihsan Kolej SIDMA

Pada majlis tersebut, Mellsie Morius menerima Anugerah Pelajar Terbaik, manakala Helmina Peter Rospin terpilih menerima Anugerah Pengerusi.

Sejak penubuhan Kolej SIDMA Sabah pada tahun 2001, seramai 5,899 graduan dalam pelbagai jurusan dan 1,021 graduan dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak telah menamatkan pengajian dengan jayanya.

Hadir sama semasa majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kolej SIDMA Azizah Khalid Merican dan Pengarah Kolej SIDMA Azlina Ngatimin.

Sementara itu, Dr. Bustam Kamri berkata para graduan Kolej SIDMA juga seharusnya tidak berpuas hati dengan diploma yang mereka perolehi sebaliknya dinasihatkan agar meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Para graduan tidak seharusnya mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dimiliki hari ini dan perlu berani untuk menyahut cabaran bagi mendapatkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bagi graduan yang telah bekerja, mereka masih boleh meneruskan pengajian kerana banyak institut pengajian tinggi menawarkan peluang meneruskan pengajian kepada golongan yang bekerjaya,”ujar beliau.

Antara program pengajian yang ditawarkan adalah Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Diploma Pengurusan, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Ijazah Sarjana Muda English dan program pasca siswazah dalam pengurusan dan pentadbiran peniagaan.

Program-program tersebut merupakan program kerjasama dengan Cyberjaya University dan Universiti Tun Abdul Razak.-SabahNewsToday