Pilih Bahasa

Pimpinan muda, berpengalaman dalam Bersatu perlu bergerak seiring: Masidi

Masidi (tengah) bergambar kenangan bersama pimpinan dan ahli Bersatu selepas merasmikan Program Jelajah Pimpinan Bersatu Negeri Sabah Peringkat Bahagian Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

KOTA KINABALU: Pimpinan Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Kinabalu adalah cerminan kepada kekuatan parti itu di negeri ini.

Timbalan Ketua Bersatu Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ahli parti itu bagi bahagian Kota Kinabalu masih gigih walaupun berada di bandaraya yang majoritinya adalah bukan pribumi dan bukan kawasan yang berpihak kepada mereka.

“Saya bangga dan harap Bersatu Bahagian Kota Kinabalu kekal kuat dan gigih berusaha untuk menambah bilangan ahli dan tidak mustahil kita mampu mengubah keadaan ini suatu masa nanti.

“Pemimpin Bersatu Sabah komited dan bersatu hati dalam menyampaikan perjuangan parti khasnya bagi memperkasa penglibatan pemimpin muda,” katanya dalam ucapan perasmian Program Jelajah Pimpinan Bersatu Negeri Sabah Peringkat Bahagian Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Masidi berkata beliau berharap lebih ramai pemimpin muda dalam Bersatu melibatkan diri dan bergerak bersama pemimpin berpengalaman dalam menghasilkan program yang bermanfaat kepada ahli dan perjuangan parti.

Beliau turut menjelaskan bahawa konsep berpolitik dengan menggunakan elemen agama semata-mata adalah tidak bersesuaian dengan norma di Sabah.

“Saya yakin kita di sini mempunyai ahli keluarga pelbagai bangsa dan agama kerana kita mempunyai kelainan tersendiri, maka adalah tidak wajar untuk menjadikan agama dan kaum sebagai tunggak kepada parti.

“Kita berbeza daripada rakan-rakan kita di Semenanjung kerana kita ada asimilasi dalam perhubungan kekeluarga yang pelbagai kaum dan agama serta kaya dengan toleransi,” katanya lagi. – SabahNewsToday