Pilih Bahasa

Pindaan Ordinan Tafsiran (Definisi Anak Negeri) Sabah 1958 ambil kira kajian ilmiah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Hasil kajian ilimiah berkaitan anak negeri Sabah sebelum ini akan diambil kira sebagai salah satu input penyediaan rangka rang undang-undang (RUU) bagi meminda Ordinan Tafsiran (Definsi Anak Negeri) Sabah 1958.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata pindaan itu perlu bagi tujuan penambaikkan terutamanya mengenai definisi anak negeri yang mahu dimasukkan di dalam ordinan.

Madius (tengah) bersama peserta Simposium Asal Usul Orang Asal Sabah yang berlangsung di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Ia juga untuk membetulkan tafsiran mengenai anak negeri yang ada dalam ordinan sedia ada supaya selaras dengan maksud sebenar serta hak anak negeri Sabah.

“Perkara ini akan menentukan siapa yang berhak masuk serta tidak masuk selain golongan yang boleh dianggap kategori anak negeri.

Madius (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Prof Madya Dr Ramzah sempena perasmian Simposium Asal Usul Orang Asal Sabah di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Cadangan meminda undang-undang sedia ada ini sudah lama dikemukakan dan terdapat beberapa pandangan yang perlu diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Simposium Asal Usul Orang Asal Sabah, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Madya Dr Ramzah Dambul dan Pemegang Kerusi Kadazandusun UMS, Profesor Madya Dr Andreas Totu.

Madius (dua dari kanan) ketika sidang media selepas merasmikan Simposium Asal Usul Orang Asal Sabah di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Dianjurkan Kerusi Kadazandusun Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, simposium sehari berkenaan dihadiri lebih 300 peserta terdiri daripada wakil persatuan kebudayaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pengkaji kebudayaan.

Sementara itu, Madius yang juga Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menyatakan simposium seumpama itu adalah salah satu inisiatif terbaik dan penting umtuk memberikan input bagi merangka RUU pindaan ordinan sedia ada. -SabahNews Today