Pilih Bahasa

Pindaan perkara 1(2) perlembagaan bawa harapan baharu kepada Sabah – Shafie

KOTA BELUD, 10 Mac (Bernama) — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usul meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini adalah langkah penting dalam memastikan hak Sabah dalam Perjanjian 1963 (MA63) dikembalikan.

Katanya Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menerajui kerajaan negeri akan berusaha merealisasikan tuntutan hak itu apabila Sabah kembali diiktiraf sebagai rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata.

Mohd Shafie menerima borang keahlian dari Datuk Musbah Jamli di Kota Belud hari ini. – Gambar Bernama

“Bagi Sabah, MA63 itu perlu ada perubahan dan diselaras dengan keperluan pembangunan di negeri ini,” katanya pada Majlis Ketua Menteri Sabah bersama Masyarakat Tempasuk, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong dan juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tempasuk Datuk Musbah Jamli.

Katanya Warisan sedar akan kemahuan rakyat yang mahu nasib mereka dibela selain menikmati pembangunan yang selayaknya.

Sehubungan itu kata Mohd Shafie, kerajaan negeri memberikan sepenuh komitmen bagi memenuhi suara rakyat yang mahu pembangunan dipertingkat selain lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan diwujudkan.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah perlu dalam usaha menguruskan kekayaan sumber Sabah untuk manfaat rakyat termasuk meneruskan langkah melarang eksport balak.

Menurutnya usaha menarik pelabur juga dipergiat termasuk yang terbaharu bekerjasama dengan Petronas untuk menarik pelabur China dalam industri gas yang membabitkan pelaburan berumlah RM1 bilion.

Perkara itu akan direalisasikan dalam masa terdekat, seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan membawa 10 pelabur membuka kilang perabot di Sandakan.

— BERNAMA