Pilih Bahasa

Pindaan RUU perlu dibuat secara menyeluruh: Bung Moktar

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerjaaan seharusnya terlebih dahulu merujuk kepada jawatan kuasa pilihan khas Parlimen untuk kajian terperinci sebelum membantang Rang Undang Undang (RUU).

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata pembangkang tidak bersetuju RUU pindaan Perlembagaan itu yang hanya mencadangkan klausa baharu untuk memperincikan semua negeri yang membentuk Persekutuan.

Datuk Bung Moktar Radin. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan `tidak bermakna’ dalam memperkasa kedudukan Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan sepatutnya membuat langkah pindaan ini sejajar dengan kandungan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Umno Sabah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu RUU yang telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong dalam bacaan pertama di Dewan Rakyat baru baru ini.

Tambah Bung Moktar sebenarnya adalah lebih baik pindaan dibuat dengan cara menyeluruh selaras dengan aspirasi rakyat di Sabah dan Sarawak  terutamanya dalam  memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berbanding pindaan sedikit demi sedikit.

Menurut Bung Moktar, pembangkang telah pun membuat usul agar usul pindaan Perlembagaan ini terlebih dahulu dirujuk ke jawatankuasa terpilih Parlimen.

Mengenai mesyuarat tersebut Bung yang juga Ketua Umno Bahagian Kinabatangan memberitahu Umno Sabah akan turut membantu berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Sandakan bagi parti yang bersekutu dengan Barisan Nasional (BN).

Bung juga memaklumkan Umno Sabah juga akan membentuk satu jawatankuasa khas bagi memantau kemajuan dan prestasi jabatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini. – SabahNewsToday