Pilih Bahasa

Pindaan takrifan belia galak lebih penglibatan remaja dalam organisasi

Oleh Alfred Petrus

Ewon (lima kiri) bergambar bersama ahli jawatankuasa Eko Pelancongan Tindian Komujo. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick yakin pindaan takrifan belia akan menggalakkan lebih banyak  penyertaan golongan remaja dalam pelbagai persatuan atau kelab.

Katanya penyertaan remaja atau belia remaja dalam persatuan secara tidak langsung akan menjadikan mereka sebagai pemimpin barisan hadapan mengurus sesebuah persatuan mengikut acuan mereka sendiri.

“Saya menyokong keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) yang mengubah takrifan had umur belia dari 40 kepada 30 tahun.

“Sebenarnya syor pindaan tersebut bukan sesuatu yang baharu dan ia sudah lama dibincangkan dan dalam beberapa platform yang lepas.

“Saya telah menyatakan pandangan perlunya takrifan belia dikaji semula. Saya menggunakan takrifan belia remaja (15-25) dan belia dewasa (26-40) dalam beberapa ucapan serta penulisan saya,” katanya ketika mengulas perkara itu.

Ewon (kanan) disambut mesra penduduk kampung Tambulion. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Eko Pelancongan Tindian Komujo (EPTK) dan Penguatkuasaan Tagal, di Kampung Tambulion Ulu Kota Belud di sini hari ini.

Pada Rabu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU berkenaan diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya. – SabahNewsToday