Pilih Bahasa

PINDAAN TERHADAP PERLEMBAGAAN SEAWAL OKTOBER INI DEMI MENGEMBALIKAN HAK SABAH DAN SARAWAK DALAM MA63

Oleh Chris Maskilone

Peguam Negara Tommy Thomas (dua kiri) bersama dengan Datuk Liew Vui Keong dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjun (tengah) selepas berarak sejauh 1.5 kilometer pada Perarakan Pembukaan Tahun Perundangan 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan beberapa undang-undang berkaitan bagi mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 boleh dilakukan seawal bulan Oktober ini.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata jawatankuasa khas untuk mengkaji MA63 telah diberi masa enam bulan bagi membincangkan isu dari segala aspek.

Berucap sempena pembukaan Tahun Perundangan 2019 di sini hari ini, Tommy berkata pembentukan jawatankuasa khas kabinet mengkaji MA63 mencerminkan betapa seriusnya kerajaan dalam menangani isu yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Ini terbukti bilamana Perdana Menteri mempengerusikan sendiri jawatankuasa pemandu jawatankuasa khas tersebut, kemudian dibantu oleh jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kerja, katanya.

Jawatankuasa pemandu dan juga teknikal telahpun mengadakan mesyuarat masing-masing dan kajian dijangka selesai dalam masa enam bulan iaitu bulan Jun depan.

Seterusnya satu laporan akhir akan dibentangkan.

Menurut Tommy, cabaran utama bagi para peguam di Sabah dan Sarawak pada tahun baharu ini adalah menjadikan MA63 sebagai satu resolusi.

“Kepelbagaian yang membolehkan kita bersama pada tahun 1963 harus dibenarkan untuk terus bersinar terang dalam Malaysia,” katanya.

Beliau menjemput profesion perundangan yang hadir pada hari ini agar bersama dalam perjalanan menuju semangat kenegaraan yang sebenar.-SabahNewsToday