Pilih Bahasa

Pintu terbuka untuk Mojigoh: PBS

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pintu Parti Bersatu Sabah (PBS) sentiasa terbuka kepada sesiapa yang percaya kepada perjuangan parti termasuklah mantan Ahli Parlimen Putatan MP Datuk Marcus Mojigoh.

Walaupun demikian Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pertemuan semalam hanyalah pertemuan biasa atas jemputan Mojigoh menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Duvanson semalam.

Dr Maximus dan pemimpin kanan PBS di majlis sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman Mojigoh kelmarin. Gambar SNT/Sumber media sosial

“Kami cuma datang untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama beliau,” jawab Dr Maximus apabila ditanya mengenai pertemuan beliau dengan Mojigoh semalam.

Kebetulan undangan tersebut adalah selepas Mojigoh dan rakan-rakannya dari Upko bahagian Putatan umum letak jawatan dan keluar daripada parti.

Ditemui pemberita selepas Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PBS di Dewan Hakka di sini hari ini, Dr Maximus berkata Mojigoh merupakan rakan baik beliau dari Parlimen lagi.

“Dalam budaya KDM jikalau ingin kahwin kita harus risik-risik dulu. Kelmarin adalah seperti risik-risik sambil kita rayakan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Ditanya samaada Mojigoh ada menyatakan minat untuk menyertai PBS, beliau berkata “kelmarin baru pemanas.”

“Tetapi saya beritahu pintu sentiasa terbuka kepada sesiapa yang percaya akan perjuangan kita,” katanya.

Menurut Dr Maximus adalah ahli politik yang veteran dan pengalaman beliau amat berguna untuk menarik generasi muda sekiranya beliau pilih masuk PBS.

“Kita juga telah jemput beliau hadir ke Rumah Terbuka PBS namun beliau tidak dapat hadir kerana telah mempunyai rancangan terlebih awal,” kata beliau kepada satu soalan.-SabahNewsToday