Pilih Bahasa

Pisang Sabah tanaman tumpuan jana pendapatan petani di Kota Marudu

KOTA MARUDU, 1 Jun (Bernama) — Melihat kepada permintaan yang menggalakkan di pasaran, penanaman pisang Sabah telah dijadikan tanaman tumpuan untuk menjana pendapatan petani di daerah Kota Marudu.

Sehingga kini seluas 238.9 hektar tanah di daerah ini telah ditanam dengan pisang Sabah dan memberikan pulangan menguntungkan kepada pengusahanya.

Pegawai Pertanian Pejabat Pertanian Kota Marudu Dg Rohaya Ag Daud berkata beberapa kampung sudah melaksanakan penanaman pisang Sabah di daerah ini, antaranya di Kuranji, Damai, Tarang Kapas, Gorantung, Sumbilingon, Marudu Laut dan Teringai.

Katanya pokok pisang mudah ditanam dengan keadaan panas dan lembap, sesuai dengan tempoh matang buah pisang antara 10 hingga 12 bulan.

Selain dijadikan tanaman utama, pisang juga boleh diselitkan sebagai tanaman tambahan dengan tanaman lain seperti kelapa,  kelapa sawit, dan koko, katanya kepada Bernama di sini.

Dalam pada itu, bekalan pisang Sabah yang mencukupi di daerah ini membuka ruang kepada aktiviti Industri Kecil dan Sederhana berasaskan kerepek pisang.

Di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Marudu, sebuah kilang kerepek pisang dibuka pada Julai tahun lepas dan memasarkan keluaran kerepek pisang Sabah ke beberapa daerah di negeri ini.

Pengurus PPK Kota Marudu Janis Kansirong berkata kilang memproses  kerepek  pisang itu boleh  memproses 500 hingga 600 kilogram pisang Sabah mentah pada satu-satu masa dan boleh menghasilkan 2,000 bungkus kerepek pisang.

Katanya bagi bekalan pisang Sabah, PPK Kota Marudu mengusahakan tanaman pisang Sabah di kampung Kuranji seluas tiga hektar sebagai  tanaman percubaan  serta melantik beberapa petani sebagai ejen pengumpulan pisang.

Menurutnya seorang daripada petani tersebut ialah  Guntail Matail dari Kampung Teringai Darat yang menanam pisang Sabah seluas lapan hektar dan merupakan Usahawan Tani Contoh di daerah ini.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut membeli hasil tanaman pisang Sabah di daerah ini secara borong dan dipasarkan ke Semenanjung.

Pengurus FAMA Daerah Kota Marudu Zulazrie Amirul berkata keluaran pisang Sabah di daerah ini berkualiti baik dan memenuhi pasaran dengan harga borong antara 80 sen hingga 90 sen sekilogram.

Katanya pihak FAMA  mulai membeli  pisang Sabah daripada petani di daerah ini sejak tahun 2012  secara kaedah tandan pisang dengan berat mencecah 11 tan seminggu.

— BERNAMA