Pilih Bahasa

Pitas tuan rumah pelancaran Kaamatan peringkat negeri buat pertama kali – Peter

KOTA KINABALU, 9 April (Bernama) — Pitas, kira-kira 169 kilometer dari bandaraya Kota Kinabalu, buat julung kalinya dipilih menjadi tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2019 yang dijadual akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada 1 Mei ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat negeri 2019 berkata pemilihan Pitas bertujuan memberi peluang kepada penduduk di daerah kecil berkenaan dan kawasan berhampiran untuk bersama-sama merasai pengalaman kemeriahan sambutan pesta tahunan itu.

Datuk Peter Anthony. Gambar SNT/ Datu Ruslan Sulai

“Pelancaran pesta kaamatan sebelum ini tidak pernah diadakan di Pitas, justeru, pada tahun ini Pitas dipilih sebagai tuan rumah bagi membolehkan lebih ramai penduduknya serta kawasan berhampiran datang meraikan di samping mengenali pemimpin yang hadir.

“Memandangkan ini adalah kali pertama diadakan di Pitas, sudah pasti pengisian acara pelancaran itu juga akan menyajikan kelainan termasuk melibatkan etnik di sekitar daerah itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Juhar di Istana Negeri di sini, hari ini.

Kunjungan Peter bersama rombongan termasuk beberapa wakil daripada Persatuan Kebudayaan Kadazandusun itu bagi menjemput Juhar bersama isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni untuk melancarkan pesta berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) Mohamad Abdullah dalam kunjungan hormat berasingan ke atas Juhar hari ini berkata, PNMB kini melakukan tranformasi perkhidmatan percetakan dengan memperkenalkan produk berasaskan digital sejak syarikat itu diswastakan pada 2017.

Mohamad berkata syarikat itu berhasrat mempromosikan produk-produk baharu percetakan berasaskan digital PNBM seperti kad pintar dilengkapi sistem aplikasi cip dan data serta produk berasaskan penyelesaian dilengkapi sistem jejak dan kesan kepada kerajaan negeri Sabah termasuk bekerjasama dalam bidang bersesuaian.

“PNMB juga mempunyai produk lain seperti perkhidmatan penandaan pokok, dan sekiranya kerajaan negeri berminat (produk itu) boleh digunakan bagi industri perkayuan selain proses penggunakan dron untuk membuat pemetaan dan mengumpul data.

“Ini adalah sebahagian produk berasaskan penyelesaian dilengkapi sistem selain produk fizikal tulen disediakan PNMB,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat itu yang turut dihadiri Pengerusi PNMB Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Cawangan PNMB Kota Kinabalu Abu Safian Adnan.

Dalam pada itu, Abu Zahar berkata langkah PNMB mentransformasikan perkhidmatan dengan memperkenal produk berasaskan digital bertujuan membolehkan syarikat itu terus berdaya maju dan relevan dengan perubahan teknologi semasa, disamping menjalankan perniagaan teras iaitu percetakan konvensional.

— BERNAMA