Pilih Bahasa

PitchBorneo kembangkan idea inovasi, kreativiti rakyat Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dr Yusof (tengah) bergambar bersama pemenang yang menerima dana RM20,000.00 selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan akhir PitchBorneo peringkat negeri. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

KOTA KINABALU: Golongan belia dan siswazah disaran menyertai PitchBorneo kerana program berbentuk inovasi itu berpotensi membantu mengasah bakat keusahawanan mereka.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata kemahiran inovasi dan kreativiti penting kerana graduan perlu berusaha berdikari tanpa perlu terlalu berharap dengan mencari pekerjaan semata-mata.

“Orang dari kampung pun boleh belajar dan tidak semestinya mereka berpelajaran tinggi sahaja layak menjadi usahawan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

“Saya rasa PItch Borneo boleh membantu mengasah bakat keusahawanan yang mereka perlukan,” katanya ketika berucap sempena pertandingan akhir PItchBorneo peringkat negeri 2019 di sini semalam.

Jawatankuasa Penganjur PitchBorneo merakam kenangan bersama Dr Yusof (tengah), Pembantu Menteri KP&I Jenifer Lasimbang dan Setiausaha Tetap Kementerian, Jasmine Teo. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

Seramai 10 pemenang yang berjaya menonjolkan idea terbaik dipilih menerima hadiah lumayan sumbangan Kementerian Pelajaran dan Inovasi iaitu tawaran geran permulaan perniagaan bernilai sehingga RM200,000.

Terdapat 30 idea perniagaan yang berinovasi dan terbaik dari enam daerah seluruh Sabah iaitu Sipitang, Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Kota Marudu dan Ranau dalam program yang bermula Jun dan berakhir Oktober lalu.

Dr Yusof berkata PitchBorneo yang turut mendapat sambutan dalam kalangan usahawan luar bandar menunjukkan program itu berpotensi membuka mata rakyat Sabah untuk melangkah setapak ke hadapan.

Menurut beliau program pertandingan berbentuk pembentangan idea perniagaan itu bukan hanya untuk pembangunan usahawan Sabah tetapi juga turut menerapkan aspek pengetahuan daripada segi pengurusan perniagaan.

Dr Yusof (tengah) menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang PitchBorneo 2019 sambil diperhatikan oleh Jenifer (dua dari kanan) dan Jasmine (dua dari kiri). – Gambar SNT/Ihsan KP&I

Dalam pada itu, beliau berharap pemenang dana itu akan menggunakan kelebihan tersebut dengan sebaiknya untuk menggembangkan lagi idea perniagaan masing-masing.

“Anda telah berusaha dan kini anda telah diberikan peluang tersebut. Saya difahamkan ramai juga usahawan yang tidak berjaya dalam PitchBorneo tapi mereka akhirnya berjaya di luar sana kerana sikap tidak mahu mengalah.

“Hanya cepat atau lambat sahaja untuk sesuatu kejayaan itu berlaku. Perbaiki idea anda dan teruskan untuk mengejar impian. Tanyalah juga kepada yang lain bagaimana mereka melakukannya sehingga berjaya,” ujar beliau lagi. – SabahNewsToday