Pilih Bahasa

PKP: Petani Sabah sambut baik pakej PRIHATIN dalam harungi tempoh PKP

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 5 April — Para petani di Sabah menyifatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebagai langkah tepat dalam usaha membantu golongan seperti mereka yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bantuan yang antara lain turut meliputi pemberian RM1,600 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah itu sedikit sebanyak memberi kegembiraan dan kelegaan kepada golongan petani untuk meneruskan kelangsungan hidup yang mencabar, apatah lagi mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.

Sawah padi. Gambar SNT/CEphoto, Uwe Aranas

Seorang petani dari Kampung Nuluhon Baru, Tuaran, Polie Santim, 58, berkata bantuan diberikan kerajaan itu sangat bertepatan dan semua rakyat yang menerimanya perlu bersyukur serta menghargainya.

“Sebagai seorang petani yang pendapatannya tidak menentu, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan. Bantuan ini sangat membantu khususnya ketika PKP ini. Selain BPN, sebelum ini saya juga telah menerima bantuan berbentuk barangan keperluan daripada wakil rakyat di kawasan ini.

“Saya melihat bantuan diberikan kerajaan merangkumi semua lapisan rakyat dan saya berharap bantuan ini dimanfaatkan sebaik mungkin. Pada musim ini, agak sukar untuk menjual hasil tani kerana pergerakan terbatas. Oleh itu, bantuan ini sangat membantu saya dan keluarga,” katanya kepada Bernama, di sini.

Seorang lagi petani dari Kampung Mangkaladom, Sibin Gontou, 62, pula berkata bantuan kewangan diberikan kerajaan itu cukup bermakna untuk golongan petani sepertinya dan sudah tentu ia sangat dinanti-nantikan terutama dalam tempoh ini.

“Kita perlu bersyukur kerana pelbagai bantuan telah diumumkan kerajaan dan mungkin di negara lain tidak menikmati bantuan seperti yang ada di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran Griffite Lidung berkata dana khas RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap PPK menerusi Pakej PRIHATIN juga dilihat akan dapat membantu golongan petani memandangkan mereka tidak dapat menjalankan aktiviti penanaman mahupun menjana hasil pertanian pada masa ini.

Bagaimanapun, Griffite berkata pihaknya masih belum mendapat maklumat terperinci berhubung perkara itu termasuk mekanisme serta kaedah pengagihan dana berkenaan.

“Sekarang, apa-apa operasi terutama melibatkan pertanian sawah atau tanaman kontan di PPK Tuaran sememangnya terjejas. Para petani tidak dapat memasarkan hasil pertanian kerana ada beberapa kekangan berikutan pelaksanaan PKP. Ini adalah implikasi dihadapi para petani,” katanya.

Setakat ini, kira-kira 1,600 petani berdaftar di PPK Tuaran dan kebanyakannya ialah pengusaha padi bukit dan padi sawah, katanya.

— BERNAMA