Pilih Bahasa

PKP pintu rezeki usahawan cili padi bara

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Penguatkuasaan Printah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu memberikan pulangan lumayan buat seorang pengusaha cili padi bara di daerah ini apabila mampu meraih pendapatan sehingga lebih RM4,000 seminggu.

Ahmad Ammarul Izzat Sabadin, 28, mampu memasarkan cili padi bara diusahakannya hingga mencecah 300 kilogram (kg) seminggu berbanding hanya 200 kg bagi purata seminggu sebelum pelaksanaan PKP.

Izzat menunjukkan hasil cili padi bara yang sudah dipetik untuk dipasarkan kepada pelanggan. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Mesra disapa Izzat, usahawan muda itu menyatakan hasil jualan diperolehinya pada hari biasa hanya sekitar RM1,500 hingga RM2,000 seminggu.

“Permintaan meningkat dua hingga tiga kali ganda namun pengeluaran di ladang saya yang tidak mampu menampung kehendak pelanggan.

“Bagaimanapun, saya mencuba sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan memborong cili padi jenis sama daripada rakan usahawan lain,” katanya ketika ditemui di ladang cili padi bara miliknya di Kampung Duvanson, baru-baru ini.

Izzat memetik hasil cili padi bara diusahakannya sebelum dijual kepada pelanggan di Penampang. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Mula mengusahakan tanaman terbabit sejak September tahun lalu, Izzat berkata peningkatan ketara dapat dilihat pada perbezaan harga sebelum dan ketika PKP.

Menurutnya, harga bagi sekilogram cili padi bara sebelumnya sekitar RM20 hingga RM35 tetapi sekarang boleh mencecah RM60 sekilogram.

Mengulas lanjut mengenai sambutan luar biasa ke atas cili padi bara diusahakannya, Izzat menyatakan masyarakat kini menghabiskan lebih banyak masa dirumah dan memilih memasak sendiri juadah sepanjang PKP antara faktor permintaan meningkat bagi sayuran berkenaan.

Izzat berkata pihaknya juga masih mendapat permintaan daripada restoran walaupun ada antaranya menutup atau menghadkan masa operasi.

Harga cili padi bara boleh mencecah hingga RM60 sekilogram sepanjang PKP. -SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Sementara itu, Izzat mengakui ada masanya dia berasa risau dan takut dengan Covid-19 sewaktu melakukan penghantaran hasil tanamannya kepada pelanggan namun dia tetap melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan bekalan cili padi bara sentiasa mencukupi. -SabahNewsToday