Pilih Bahasa

PKPB, pandemik Covid-19 bukan halangan peniaga biskut raya jana pendapatan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

BEAUFORT: Walaupun masih berada dalam pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun ia bukan halangan buat peniaga biskut raya di negeri ini menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.

Peniaga biskut raya, Hamidah Ontong, 33, berkata meskipun terpaksa mengurangkan tempahan tetapi pelanggan mula bertanya mengenai biskut raya sebelum ketibaan Ramadan lagi.

Hamidah bersama sebahagian tempahan biskut raya pelanggan yang sudah siap dihasilkannya. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Pertanyaan untuk tempahan memang banyak tetapi saya belum memberi sebarang kata putus kepada pelanggan ketika itu kerana mengambil kira pelbagai faktor.

“Selepas berbincang bersama suami, barulah saya mengambil keputusan membuka tempahan pada minggu kedua Ramadan namun tempahan diambil adalah terhad berbanding tahun sebelumnya.

Hamidah menyiapkan tempahan biskut raya pelanggannya di Beaufort. – Gambar SNT/Mihd Nazllie Zainul

“Asalnya memang merancang tidak mahu mengambil sebarang tempahan namun memandangkan saya tetap akan membuat biskut untuk keluarga, suami mencadangkan agar saya mengambil sedikit tempahan daripada pelanggan.

“Iklan untuk tempahan juga hanya dibuat melalui status aplikasi Whatsapp sahaja,” kata peniaga wanita yang sudah 12 tahun menceburi bidang perniagaan biskut raya itu.

Hamidah menghasilkan 4,200 biji biskut yang terdiri dari biskut makmur susu, makmur corn flakes, almond London, ulat bulu dan biskut pelangi. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Hamidah berkata dia sentiasa berasa bimbang sekiranya banyak bahan untuk membuat biskut raya sukar ditemui namun bersyukur semua barangan diperlukan dapat diperolehi.

Bercerita mengenai perniagaan biskut rayanya tahun ini, Hamidah menyatakan dia hanya mampu menghasilkan 4,200 biji biskut yang terdiri dari biskut makmur susu, makmur corn flakes, almond London, ulat bulu dan biskut pelangi.

“Jumlah ini sangat ketara berbanding tahun lalu kerana saya boleh menghasilkan sehingga 7,500 biji pelbagai jenis biskut raya.

“Pendapatan diterima hasil jualan biskut raya juga hanya mampu memperoleh keuntungan sekitar RM1,500 sahaja berbanding RM3,000 tahun sebelumnya,” katanya yang mengusahakan perniagaan biskut raya di bawah jenama Nasyidah Homemade. -SabahNewsToday