Pilih Bahasa

PKPP UMS raih pingat emas dan gangsa Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran

Pingat emas diraih melalui inovasi bertajuk Pelaksanaan Pembelajaran Abad ke-21 dalam Pengajaran dan Pembelajaran Kursus Kokurikulum di PKPP UMS yang diketuai Timbalan Pengarah (Akademik) PKPP Dr. Jurry Foo.

KOTA KINABALU: Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih satu pingat emas dan satu gangsa dalam Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran sempena Persidangan Kebangsaan Kokurikulum Universiti Malaysia (NUCC) di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Dr Jurry mempamerkan sijil penghargaan dan anugerah emas yang diterima. Gambar SNT/Ihsan UMS

Dibentangkan oleh Penolong Pendaftar PKPP,  Mohd Alwi Osman, pingat gangsa pula diperoleh melalui inovasi bertajuk Holistic Potential Enhancement Program (HOPE).

Dr. Jurry ketika dihubungi media hari ini berkata anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di PKKP UMS dalam membentuk dan melahirkan mahasiswa holistik yang mempunyai kemahiran kepimpinan serta menjalankan tanggungjawab sosial.

“PKPP UMS telah diamanahkan untuk mendedahkan kepada pelajar UMS di peringkat awal mengenai kemahiran insaniah melalui kursus kokurikulum berkredit tiga jam bagi kursus biasa, manakala tiga hingga enam jam kredit bagi kursus beruniform, sebelum mereka meneruskan penglibatan kokurikulum tidak berkredit melalui kelab dan persatuan di bawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Pelajar, fakulti dan institut.

Alwi memenangi anugerah gangsa. Gambar SNT/Ihsan UMS

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran di PKPP adalah bersifat dinamik dan fleksibel dengan mendedahkan pelajar kepada program dan aktiviti yang sesuai dengan keadaan semasa. Pada ketika ini PKPP positif dalam mendedahkan pelajar kepada ekosistem pembelajaran abad ke-21, sesuai dengan gaya hidup terkini dan persekitaran pelajar secara khusus selain sentiasa mengambil kira saranan daripada pelbagai pihak termasuk pelajar untuk beroperasi dengan lebih efektif,” katanya.

Menurut Dr Jurry, PKPP juga sentiasa mengambil tahu perkembangan  sistem pembelajaran kursus kokurikulum semasa.

“Satu daripada usaha tersebut ialah mengadakan lawatan penanda aras seperti yang dilakukan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini, di samping mengadakan perbincangan berterusan dengan pusat kokurikulum universiti lain melalui Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC),” tambahnya.

Pada persidangan itu, sebanyak tiga buah kertas kerja turut dibentangkan iaitu Co-Curricular Activities … Do They Help Student Development? The Ums Experience oleh Pengarah PKPP, Dr Hasnol Noordin; dan Service Learning (SL) dalam Sistem Pengajaran dan Pembelajaran PKPP UMS oleh Dr. Jurry.

Dr Colonius (kanan) sedang memberi penerangan. Gambar SNT/Ihsan UMS

Kertas kerja selebihnya dibentangkan Penyelaras Komponen Kemasyarakatan PKPP, Dr. Colonius Atang dengan tajuk Penguasaan Kemahiran Insaniah Melalui Aktiviti Kokurikulum dalam Kalangan Pelajar Mengambil Kursus Kepimpinan dan Motivasi (Baktisiswa) Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Sebanyak 43 pembentang kertas kerja dan 30 peserta Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Kokurikulum dari 20 Universiti Awam telah menjayakan persidangan tersebut.

Persidangan kali pertama sejak penubuhan UniCC pada tahun 2010 itu dianjurkan UniCC dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan -SabahNewsToday