Pilih Bahasa

PKR Kota Belud bimbang kemasukan Salleh menjadi liabiliti kepada parti

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Belud hari ini menyuarakan kebimbangan kemasukan Datuk Salleh Tun Said Keruak akan menjadi liabiliti kepada parti yang dikenali sebagai penggerak reformasi.

Ketua Cabang PKR Kota Belud, Mustapha Sakmud yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah berkata isu tersebut memberi kesan bukan sahaja kepada ahli parti di Kota Belud tetapi seluruh Sabah.

Mustapha Sakmud. Gambar Fail SNT

“Isu kemasukan Datuk Salleh ke dalam PKR bukan sekadar isu keahlian pintu belakang tapi kesannya cukup parah dan menjadi liabiliti kepada parti yang dikenali sebagai penggerak reformasi dan politik perubahan berdasarkan nilai kebenaran dan keadilan,” katanya.

Tambahnya lagi pengalaman dalam “membina Semula Kota Belud dengan membawa nilai politik yang bertembung dengan budaya politik wang yang berakar di bawah pimpinan lama memang sukar untuk dilupakan.”

Menurutnya Salleh merupakan penyokong kuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum PRU14.

“Kes 1MDB sedang dibicarakan dan kita tidak mahu parti terkait seolah-olah menyokong kes ini,” katanya.

Mustapha berkata Salleh yang menjawat Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam kerajaan terdahulu kalah di kawasan Parlimen Kota Belud di tangan pengundi-pengundi terutama generasi muda yang muak dengan peranan utamanya sebagai “The Last Samurai for Najib” (Samurai terakhir untuk Najib).

“Perjuangan reformasi yang kita angkat diperlekehkan dan wang menjadi taruhan utama untuk mempertahankan kuasa. Saya boleh memaafkan tetapi amat sukar untuk melupakan sejarah pemimpin yang sentiasa menafikan potensi-potensi pemimpin terutama di kalangan generasi muda.

“Saya boleh berjiwa besar tapi tidak akan berkompromi dengan prinsip perjuangan,” katanya.

Beliau berkata pimpinan parti perlu menilai secara adil antara “Pejuang Reformasi dan The Last Samurai.”

Mustapha berkata Datuk Christina Liew mendapat kritikan sebagai lemah namun sudah tercatat dalam sejarah bahawa beliau ialah Pengerusi PKR Sabah yang berjaya menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah setelah berjuang selama 20 tahun.

Hubungan baik dengan Ketua Menteri Sabah telah banyak membuka ruang kepada pimpinan dan ahli-ahli parti mendapat manfaat sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Negeri, katanya.

Namun Mustapha berkata ironinya beberapa orang yang menikmati jawatan penting setelah disokong oleh Christina sebagai Timbalan Ketua Menteri menjadi penyokong utama kemasukan Salleh ke dalam parti.

Beliau tidak menyatakan nama individu-individu itu namun mereka telah mengeluarkan kenyataan akhbar meminta pemimpin PKR Sabah untuk bersikap terbuka menerima kemasukan Salleh ke dalam parti.

Mustapha berharap pimpinan pusat terutama Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membuat penilaian dan pertimbangan yang adil.

“Kami sayangkan parti yang kami dokong sejak 20 tahun dan mahukan agar laluan untuk menjadi Perdana Menteri ke-8 dipermudahkan. Jangan persiakan harapan rakyat yang ingin melihat politik perubahan berlaku.

“Ramai lagi pejuang-pejuang yang tidak didendang atau unsung hero perlu diberi perhatian daripada menambah liabiliti kepada parti,” katanya sambil menambah beliau akan meneruskan perjuangan dalam mendidik masyarakat memahami politik nilai dan politik perubahan selagi diperlukan oleh parti.

“Jika akhirnya saya dikorbankan saya tetap rasa bahagia kerana meninggalkan legasi kepimpinan buat panduan generasi muda dalam meneruskan perjuangan,” kata Mustapha.-SabahNewsToday