Pilih Bahasa

PKR PENSIANGAN TERKILAN ADUN PEMBANGKANG HADIR BERSAMA EWON PROGRAM DI NABAWAN

Oleh Chris Maskilone

Bobbey (empat dari kiri) duduk bersebelahan dengan Ewon (lima dari kiri) dalam program anjuran Majlis Gabungan Gereja-Gereja daerah Nabawan. Gambar SNT/Ehsan PKR Pensiangan

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pensiangan merasa terkilan dengan kehadiran Adun Nabawan Datuk Bobbey Suan dalam program Majlis Gabungan Gereja-Gereja daerah Nabawan yang dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick pada Sabtu.

“Semua orang tahu kedudukan Datuk Bobbey Suan dalam landskap politik pada hari ini khususnya di DUN Nabawan,” kata Ketua PKR Cabang Pensiangan, Raymond Ahuar.

Katanya penganjuran yang melibatkan pegawai kerajaan, sepatutnya turut  melibatkan semua pemimpin parti yang terlibat dalam kerajaan seperti Upko, PKR, DAP dan Warisan untuk meneruskan dan merealisasikan konsep kerjasama setiakawan sekiranya Ewon ikhlas dalam perjuangan sebagai menteri penuh dalam kerajaan hari ini.

“Seperti juga di kawasan Kadamaian iaitu kawasan beliau sendiri, Parti Keadilan Rakyat di kawasan tersebut bekerjasama dan menghormati parti Upko dan menjaga sensitiviti setelah Datuk Ewon Benedick memutuskan untuk bekerjasama dengan Warisan dalam pembentukan Kerajaan Sabah,” katanya.

Raymond dalam kenyataan akhbarnya berkata Ewon sepatutnya lebih tahu memandangkan Bobbey adalah salah seorang bekas Adun Upko yang tidak menyertai kerjasama dengan kerajaan Warisan.

“Datuk Ewon Benedick juga sangat tahu bahawa status Datuk Bobbey Suan adalah pembangkang ekoran tidak bersama-sama dengan beliau menyokong kerajaan.

“Maka, sepatutnya Datuk Ewon Benedick selaku (seorang) Naib Presiden Upko tidak melibatkan pemimpin pembangkang dalam programnya yang turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap dan Pegawai Daerah Nabawan,” kata Raymond.

Raymond yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew turut mendakwa tindakan Ewon dan Upko dalam program tersebut langsung tidak menghormati pemimpin-pemimpin parti kerajaan yang lain.

“Tindakan ini juga menunjukkan bahawa Datuk Ewon Benedick seolah-olah mempunyai muslihat yang kurang baik dan tidak boleh dipercayai kerana berunsur khianat,” dakwanya.

Untuk rekod, Bobbey telah keluar daripada Upko untuk bersama dengan kumpulan wakil rakyat Gabungan Bersatu Sabah (GBS).-SabahNewsToday